Selasa, 18 Disember 2012

CERPEN : ABC...123...SAYA SAYANG SAYA CINTA

ABC…123...SAYA SAYANG SAYA CINTA
(AIRIS ADDIANA)

KETAWA sampai guling-guling? Perlu ke? Atau pun menangis meraung-raung sambil tarik-tarik rambut? Fuhh…dahsyat sungguh. Itu layak benar menjadi penghuni Wad Mental Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Elok-elok mental sihat walafiat, terus kena label pesakit jiwa. Areej pantas menggeleng kepala. Sesekali dahi diurut-urut. Bukan pening kepala tetapi urat-urat otak seakan berpintal dan kelemasan dalam masalah yang seakan tiada jalan penyelesaian.
            “Umur tu bukan makin muda...tapi makin tua!”
            Adus. Seakan ditimpa sebiji kelapa dan membuatkan kepala berpinar-pinar. Memanglah umur makin bertambah setiap tahun. Mana ada usia manusia semakin muda remaja!
            “Itu nombor je!”
            Hahh, alasan yang sering digunakan untuk mempertahankan diri ini daripada terus diasak dengan desakan-desakan melemaskan itu.Terbayang wajah emak yang pasti sudah cemberut menahan marah. Desahan nafas emak itu jelas kedengaran di telefon. Yang pasti emak sedang bersabar dalam melayan kerenahnya yang masih sambil lewa dan buat ‘derk’ je.
            “Boleh tak sekali ni Areej dengar cakap mak?” suara emak makin tegas.
            “Mak nak Areej buat apa? Paksa?” Areej membalas dengan soalan juga.
            “Tak paksa cuma kena ikut!” Emak jawab bersahaja.
            Areej berkerut dahi. Tak paksa? Bukan ke maksud paksa itu dekat-dekat dengan frasa ‘kena ikut’? Emak ini sengaja mahu memeningkan kepala yang sudah semakin kusut agaknya. Keluhan kasar dilepaskan lagi. Mengharapkan desahan nafas ini dapat ditafsirkan oleh emak di hujung talian.
            “Hajat orang ni tak elok ditolak. Mak dah penat tunggu Areej cari sendiri.”
            Huhuhuhu....emak dah penat...aku pula tenat! Menjawab salam emak, talian ditamatkan dan mula baring di atas katil. Tangan menggaru-garu rambut yang tidak gatal. Sekadar mahu menyingkirkan segala rasa gundah, marah, sakit hati, kecewa dan macam-macam lagi.
            Tahun 2012....umur diri ini mencecah 29 tahun. Tahun 2013...usia tambah setahun lagi untuk jadi 30 tahun! Memang patut emak dah penat tunggu. Anak-anak emak dan abah yang lain bertemu jodoh dalam usia yang lebih muda dari diri ini. Alah, jodoh itu semua urusan Allah SWT, mungkin usia 30 tahun nanti baru bertemu jodoh. Hahh, emak saja yang sudah risau.
            “Hai Kak, termenung jauh sangat tu...” teguran dari Farah menyentakkan lamunan Areej. Farah yang melangkah masuk ke dalam bilik hanya tersenyum-senyum. Tersengih-sengih gaya kerang busuk!
            “Mengenang masa depan...” jawab Areej bersahaja. Farah sedikit berkerut dahi dan menyangkutkan tudung di penyangkut baju yang sudah tersedia.
            “Apahal kak? Lain macam je bunyinya...” Farah ingin kepastian. Direnung wajah Areej. Areej masih selesa baring.
            “Percaya ke tak kalau akak bagi tahu yang emak akak dah carikan jodoh untuk akak?”
            “Hahh??” Farah menjerit kecil. Mungkin terkejut. Areej segera memandang wajah Farah.
            “Percaya ke?” soal Areej.
            “Kak, alhamdulillah...sapa kak?” Farah nampak teruja.
            “Ehhh...apa hal nak Alhamdulillah ni?”
            Farah ketawa kecil. “Siapa kak?”
            “Kau dengan emak akak sekapal rupanya...” keluh Areej. Ketawa Farah masih ada.
            “Kak, relaks lah. Akak tak suka ke?”
            “Akak bukan tak suka tapi macam rasa terdesak sangat je. Akak ni dah tua sangat ke Farah? Dah nampak berkedut-kedut ke muka akak ni?” tanya Areej bertalu-talu.
            Farah meneruskan tawa. Gusar di wajah Areej nampak jelas. Kasihan Kak Areej, bisik hati kecil Farah. Kak Areej tidak nampak tua walaupun usianya akan mendekati 30 tahun. Pada sesiapa yang baru mengenali Kak Areej, sudah pasti meletakkan usia wanita ini dalam lingkungan 24 hingga 26 tahun.
            “Akak mana nampak tua. Saya ni yang nampak lebih tua dan matang dari akak walaupun saya ni muda remaja lagi.” Farah menjawab pertanyaan Areej dengan nada gurauan.
            “Tahun depan akak 30 tahun la Farah...dah memang tua la tu...” lirih suara Areej dan memeluk bantal lebih erat.
            “Itu sekadar umur je kak. Apa yang akak nak fikir-fikirkan sangat ni? Kalau dah sampai jodoh akak, akak tak boleh nak lari ke mana-mana pun,” nasihat Farah perlahan. Areej terdiam saja dan mengakui kata-kata Farah itu ada benarnya. Soal jodoh itu sudah ditetapkan oleh Allah SWT...

****
BERBULU matanya melihat tubuh lelaki itu mendekati mejanya. Areej meneruskan membaca baris-baris ayat di dalam buku latihan yang sedang disemaknya. Berpinar mata melihat halusnya tulisan tangan anak didiknya yang seorang ini. Sudahlah saiz tulisan yang kecil dan senget-senget, di tambah lagi dengan bahasa yang tunggang-langgang menjadikan otak tepu untuk mengesan kesalahan.
            “Nah, suka sangat tertinggal pen dalam kelas.”
            Areej terkejut mendengar suara itu. Sebatang pen marker Artline 500 warna merah tergolek di depannya. Segera Areej memandang lelaki yang masih berada di hadapan mejanya. Bertembung dengan renungan tajam mata si lelaki, Areej mengetap bibir menahan marah.
            “Apa masalahnya?” soal Areej berani.
            “Tak elok membazir marker!” jawabnya bersahaja.
            “Ehh, saya beli dengan duit saya bukan duit orang lain!” balas Areej.
            Lelaki yang bernama Aish Muhammad itu hanya tersengih. Sengihan yang amat menyakitkan hati Areej yang memandangnya.
            “Bukan duit panitia ke?” Aish seakan mahu menyemarakkan lagi ketegangan ini.
            “Kalau duit panitia pun, apa masalah Cikgu Aish? Ada menyusahkan Cikgu Aish ke? Cikgu nak susah hati sangat ni kenapa?”
            Aish hanya ketawa kecil. Merah padam wajah wanita dihadapannya ini. Jelas sangat marah dan sakit hati. Anak mata Areej menjeling sahaja. Raut wajah yang selalu senyum dan ceria itu lenyap apabila berhadapan dengan Aish. Aish Muhammad dan Areej Nisrina memang seperti anjing dan kucing!
            “Sensitif sangat. Sikit-sikit sentap...” tutur Aish perlahan.
            “Yang Cikgu Aish menyibuk sangat ni kenapa?” tempelak Areej dan cuba mengawal suara. Iqlima di meja hujung seakan memandang penuh perhatian. Begitu juga pada Kak Faziah dan Kak Ana yang sekejap-sekejap memandang dan meneruskan sesi menyembang semula.
            “Orang dah pulangkan barang dia, bukan nak ucap terima kasih ke apa..tak patut betul.”
            Areej mengetap bibir sekali lagi. Masih mengekalkan kesabaran dalam diri. Melayan kerenah Aish tidak pernah menyenangkan. Lelaki itu kaya dengan bahasa sindiran.
            Just go away...please....” ujar Areej dalam suara yang bergetar. Sesi ‘bersembang’ ini perlu ditamatkan. Jika Areej tidak mengalah, lelaki itu akan terus menyerangnya tanpa henti. Aish tidak pernah mengalah. Hanya Areej yang sering menoktahkan perbalahan dengan merendahkan ego dirinya. Biarlah Aish sentiasa bangga dirinya menang setiap kali berbalah dengan Areej.
            I won’t...” suara Aish kedengaran perlahan. Galak benar Aish meneruskan mengusik dan menyakat Areej yang sudah merah wajahnya. Wanita itu sedang menahan marah. Namun, Areej tidak pernah gagal mengawal perasaan marahnya itu. Wanita yang bernama Areej Nisrina begitu banyak bersabar dan mengalah. Aish tersenyum penuh makna.
            Areej melepaskan keluhan. Ditala kembali pandangan mata ke arah Aish yang masih tercegat berdiri di depan mejanya. Lelaki itu masih dengan lagaknya yang bersahaja. Ada senyuman di wajah itu namun tidak cukup untuk melembutkan hati panas Areej. Aish Muhammad Bin Abdul Razak. Mengenali dirinya sudah mencecah tempoh dua tahun. Dua tahun yang penuh dengan segala cabaran dari lelaki itu. Di antara Aish Muhammad dan Areej Nisrina tidak pernah wujud situasi aman damai. Ada saja angin kencang atau ribut taufan yang melanda. Yang pasti menyebab utama cuaca menjadi huru-hara di antara mereka adalah Aish Muhammad! Lelaki itu punya lidah yang amat berbisa.
            “Cikgu Aish, mana post mortem Sejarah!”
            Areej terkejut. Aish tersentak. Tubuh Cikgu Hasanah tercegat di pintu tengah Bilik Guru ini. Guru Penolong Kanan 1 itu memandang Aish dan Areej silih berganti. Ada riak hairan.
            “Mana dia post mortem yang saya minta pagi tadi?” Cikgu Hasanah menyoal sekali lagi apabila tiada sahutan suara dari Aish.
            “Dah ada. Cikgu Hasanah nak sekarang ke?” Aish berjalan meninggalkan meja Areej.
            “Iyelah. Sekarang. Jangan lambat-lambat!” Suara Cikgu Hasanah tegas.
            Areej menyembunyikan sengihan mendengar kata-kata Cikgu Hasanah pada Aish. Padan muka!
            “Okey...okey...” Aish membuka laci di mejanya dan mencapai kertas yang diminta oleh Cikgu Hasanah itu. Silapnya juga kerana melengah-lengahkan menghantar laporan yang diminta sejak pagi tadi. Cikgu Hasanah bukan seorang yang gemar tertunggu-tunggu. Sikap tegas selaku Penolong Kanan Pentadbiran sememangnya tidak pernah gagal dilaksanakan.

****

HERDIKAN itu, kata-katanya dan juga renungan tajam yang penuh rasa marah sesekali tidak akan luput dari kotak fikiran Areej. Mana mungkin dia akan melupakan pada lelaki yang begitu tegar menggelarkan dirinya lalai dan degil di depan sekelompok pelajar. Bukan salah diri ini, tidak juga meletakkan kesalahan itu pada orang lain. Bak kata pepatah Melayu, malang tidak berbau. Jadi kemalangan yang berlaku itu tidak dirancang mahu pun diharapkan terjadi. Namun, amarah lelaki itu terhambur dan dirinya disalahkan. Sampai hati Aish menuduhnya bukan-bukan. Kejamnya Aish Muhammad menggelar dirinya tidak layak menjadi seorang guru! Saat itu yang menjadikan Areej Nisrina membenci Aish Muhammad walaupun peristiwa menyakitkan hati itu sudah hampir dua tahun berlalu.
            “Nak jaga aktiviti macam ni pun tak boleh. Elok tak payah jadi cikgu kalau ada sikap lalai. Bahayakan budak-budak aje. Menyusahkan betul!”
            “Saya ke Bilik Guru sekejap nak....”
            “Penting sangat ke sampai nak tinggalkan budak-budak ni main tanpa pengawasan guru?” Suara lantang Aish memintas kata-kata Areej. Areej terkedu.
            “Saya nak ambil buku kedatangan,” jawab Areej. Sebak sudah mula menghuni.
            “Degil!” Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Aish tetapi cukup meruntun hati Areej. Pelajar-pelajar lain masih mengerumuni tubuh Syafiq yang masih menahan sakit. Kakinya yang terseliuh itu sudah mula membengkak. Areej serba-salah. Aish masih dengan marahnya.
            “Azril, Faiz, papah Syafiq masuk kereta saya. Saya nak bawak pergi urut. Nak harap Cikgu Areej kamu ni dia bukan tahu apa-apa...”suara lantang Aish bergema. Arahan itu segera dipatuhi oleh pelajar yang disebut namanya tadi. Tubuh Syafiq diangkat, pelajar itu mengerang kesakitan. Terseliuh atau patah?
            “Kalau patah kaki budak tu, awak jawab kat ibu ayahnya. Awak yang bertanggungjawab!” Aish merenung tajam pada Areej dan berlalu pergi menghampiri kereta. Syafiq sudah duduk di dalam kereta di temani dua rakannya tadi.
            Areej hanya memandang pada kereta yang bergerak meninggalkan gelanggang bola tampar. Beberapa orang pelajar lain sudah bergerak menuju ke kelas dan sebahagian ke arah kantin sekolah. Jiwa Areej tersayat dengan kata-kata kasar Aish tadi. Kenapa dengan lelaki itu hari ini? Begitu mudah melemparkan kata-kata hinaan dan memarahinya tanpa memikirkan perasaan ini. Bersalah sungguhkah kerana meninggalkan gelanggang ini untuk seketika semasa pelajar-pelajar lelaki Tingkatan Tiga ini bermain bola tampar? Mereka budak kanak-kanak yang perlu diawasi setiap saat. Mereka sudah besar dan tahu menjaga diri. Kemalangan yang menimpa Syafiq itu tiada sesiapa yang menduga. Syafiq yang terlalu ghairah bermain dan melompat sehingga terjatuh dan menyebabkan kakinya terseliuh. Tetapi Aish amat marah dan menuduhnya cuai dan lalai dalam menjalankan tugas.
            Bunyi deringan telefon mudah alih di atas tilam menoktahkan imbasan peristiwa itu. Areej mencapai telefon tersebut dan memandang skrin telefon melihat siapa yang menghubunginya. Ehh, nombor siapa? Walaupun fikiran tertanya-tanya, segera ditekan butang menjawab panggilan.
            “Assalamualaikum.”
            Ucapan salam suara itu menyentakkan Areej. Suara lelaki tetapi siapa?
            “Waalaikumsalam. Siapa bercakap tu?”tanya Areej tidak berlengah.
            “Areej Nisrina kan?” Suara lelaki itu menyebut nama penuhnya. Areej semakin kaget.
            “Iya, saya Areej Nisrina. Awak siapa?”
            “Saya Am. Saya bakal tunang awak....”
            “Hahh!” Terjerit kecil dan Areej ternganga. Am? Bakal tunang? Ya Allah....
            “Areej sihat ke?” Lelaki yang bernama Am itu bertanya khabar pula. Areej masih tergamam.
            Diam seketika. Areej seakan kelu untuk bersuara walaupun menuturkan sepatah perkataan. Lelaki di dalam talian itu juga seakan mendiamkan diri. Mungkin menantikan jawapan Areej di atas pertanyaannya tadi. Jemari Areej yang memegang telefon seakan menggeletar.
            Hello...hello...senyap aje....” suara garau lelaki itu kedengaran. Areej seakan kalut.
            “Err...err...ada ni...sihat je...” Areej bersuara dalam antonasi yang sedikit gagap.
            “Maaflah menganggu Areej malam-malam ni. Tengah buat apa?” Lelaki itu masih ramah. Hanya Areej yang serba tak kena dibuatnya.
            “Tengok tv.” Areej menjawab ringkas. Paluan degupan jantung ini semakin rancak. Mahu saja Areej menekan butang menamatkan panggilan tetapi akalnya tidak membenarkan tindakan itu.
          Diam dan senyap sekali lagi. Hanya desahan nafas lelaki itu memukul gegendang telinga Areej. Siapa Am ini? Siapa pula yang memberi nombor telefon ini padanya? Emak ke? Kemungkinan itu seakan tepat kerana hanya emak yang pernah bertemu muka dengan lelaki yang ingin digandingkan dengan dirinya ini. Ahhh...emak tidak bergurau rupanya. Sudah nekad untuk menjodohkan aku dengan lelaki ini. Am...meniti nama ringkas itu difikiran.
            “Areej...” suara lelaki itu menembus ke gegendang telinga.
            “Hahhh...” Areej terkejut dengan panggilan itu tetapi terdiam semula.
            “Nanti Am call lagi. Assalammualaikum.” Ucapan salam dititipkan dan talian ditamatkan. Areej masih tercengang dan termanggu. Terkejut sudah pasti. Am...lelaki misteri yang muncul tiba-tiba dan inilah lelaki yang akan menjadi pasangan hidupnya nanti. Ohhh...tidakkkk!!!!!!!!!Emak....tolong!!!!!!

****

MIMPI jadi kenyataan. Inilah kesimpulan yang telah dibuat. Wajah emak yang ceria, abah yang masih dengan sikap tenang dan raut muka Kak Linda yang berseri-seri dan ‘bling-bling’. Hanya wajah diri ini yang terkulat-kulat tidak berperasaan. Ke mana perginya semua rasa hati dalam dirinya? Tiada. Kosong. Yang menghantui minda ini cuma bayang-bayang kehidupan yang bakal berubah. Status diri ini sudah naik taraf satu anak tangga. Daripada status single and available, Areej Nisrina kini sudah menjadi tunangan orang. Tunang kepada seorang lelaki yang hanya mahu dikenali dengan nama Am. Diri lelaki itu tidak dikenali, apatah lagi untuk bersua muka. Hanya suara garaunya itu yang sering menjadi halwa telinga Areej sejak kebelakangan ini. Lelaki itu tidak pernah jemu menghubunginya, bertanya khabar, bergurau senda dan berusaha untuk memupuk perhubungan. Hanya Areej yang kaku, tanpa reaksi, tiada perasaan. Jangan salahkan diri ini. Lelaki itu masih misteri untuk mendampingi diri ini.
            Satu demi satu barang-barang hantaran itu hanya dipandang sepi. Hantaran daripada pihak lelaki yang lengkap dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Semuanya serba biru, seakan mengetahui juga warna kegemaran dan kegilaan Areej yang satu ini. Nilai mas kahwin dan juga hantaran yang telah ditetapkan semasa rundingan siang tadi tidak mengundang sebarang keterujaan Areej. Biarlah, Areej tidak kisah dengan semua itu. Biarpun lelaki itu meletakkan nilai yang rendah atau sikit, Areej tidak akan membantah. Wang ringgit bukan menjadi isu utama saat ini. Yang masih berlegar-legar diruang kepala yang sudah sarat dengan pelbagai andaian ini cuma satu. Siapa lelaki itu? Bagaimana rupanya, sikap dan perwatakkan dirinya? Aku ini akan mengahwini siapa sebenarnya? Hati kecil Areej bertalu-talu menyoal. Minda dan fikiran tiada jawapan pada persoalan itu.
            “Muka monyok ye, tak seronok ke?” suara Kak Linda menerjah masuk.
            Areej mengalihkan pandangan daripada deretan hantaran yang masih tidak berusik itu ke arah wajah berseri-seri Kak Linda.
            “Macam mana nak seronok kalau tunang sendiri pun tak kenal langsung!” Areej bersuara.
            “Nanti kenal la jugak. Sabar je,” pujuk Kak Linda bersahaja dan duduk di birai katil. Dibelek-belek gubahan sirih junjung yang cantik dan kreatif itu.
            “Akak cakap senanglah. Emak pun macam tak faham je perasaan Areej ni. Orang lain tu bila dah tunang memang happy memanjang, makin tak sabar nak kahwin. Tapi Areej ni makin takut tau. Entah siapa yang Areej nak kahwin ni. Akak faham tak ni?” luah Areej satu demi satu.
            Linda hanya senyum. Kasihan juga pada adik bongsunya yang seorang ini. Cemberut wajah Areej jelas menunjukkan dirinya yang sedang protes dan marah. Namun, Linda percaya Areej akan  bahagia bersama lelaki itu.
            “Marah ke?” tanya Kak Linda dan memandang wajah mencuka Areej.
            “Bukan marah je tapi bengang, sakit hati, sakit jiwa, sakit otak!” marah Areej.
            “Janganlah emo sangat. Cubalah jadi wanita yang penyabar sikit. Apa yang emak, abah dan kami adik-beradik buat ini semua untuk kebaikan dan kebahagian adik akak yang bongsu ni. Fikirkan saja semua ni adalah takdir dan qada qadar Allah SWT. Areej tak mencari jodoh tapi jodoh yang mencari Areej. Jodoh, ajal, maut, rezeki kan Allah yang tentukan? Dah lupa?” tutur Kak Linda perlahan.
            Areej terdiam dan melepaskan nafas. Kata-kata Kak Linda tidak mampu dibidas kerana semua intipatinya adalah benar dan sahih. Ini semua ketentuan Allah SWT untuk setiap makhluk ciptaanNya. Mana mungkin hambaNya yang kerdil ini mampu untuk menepis jauh-jauh semua dugaan dan ketentuan ini jika sudah tertulis di Loh Mahfuz.
            “Areej memang tak kenal langsung ke keluarga Am tu? Langsung tak pernah jumpa?” selidik Kak Linda. Areej pantas mengeleng kepala.
            “Mana kenal.” Areej menjawab ringkas.
            “Emak dan ayah dia baik kan? Untung Areej dapat bakal mak ayah mentua sebaik tu. Sekarang ni, selain dapat suami yang penyayang, baik, romantik, bertanggungjawab, kena fikir juga pasal mentua.”
            “Huhh, malas nak fikir mentua ke apa!” dengus Areej masih dengan perasaan marahnya. Linda ketawa kecil. Wajah adik bongsunya itu masih kelat dan masam.
            “Bukan ke Am tu selalu call Areej tiap-tiap malam? Tak selidik ke betul-betul siapa Am tu sebenarnya?” Linda menduga lagi.
            “Nak tanya banyak-banyak macam mana kak? Mulut Areej ni macam kena gam UHU tau. Kalau nak sembang pun tergagap-gagap. Agaknya mesti dia ingat Areej ni si gagap. Kelu lidah la kak,” rungut Areej dan disambut ketawa Linda yang semakin menjadi-jadi.
            Try your best sis. Am tu lelaki yang baik. Dia akan sayang, cinta, kasih dan rindu pada Areej. Percayalah cakap akak ni. Lagi satu, lebih baik kita terima si dia yang menyintai kita lebih banyak daripada kita menyintai dia. Itu akan memberi kebahagian pada kehidupan Areej dan Am nanti.” Kak Linda berubah menjadi ‘Doktor Cinta’ malam ini. Begitu yakin sekali Kak Linda menyandarkan kebahagiaan Areej bersama lelaki itu. Satu keluhan dilepaskan lagi. Jiwa ini masih gundah. Fikiran ini masih kebingungan. Hati ini masih kacau-bilau. Semuanya kerana kehadiran seorang lelaki misteri bernama Am. Am yang masih menjadi tanda tanya.

***

TERDIAM dan hanya mendengar bait-bait kata yang dituturkan oleh Cikgu Hasanah. Suara itu tegas dan menggerunkan perasaan. Semua ini salah Aish. Lelaki itu yang sengaja menempah masalah. Perasaan amarah Areej seakan membuak di dalam hati dan jiwa. Jaga kau Aish Muhammad! Siap nanti aku kerjakan lepas ni!! Bentak hati Areej.
            “Selesaikan masalah kamu berdua. Ini yang penting!” Cikgu Hasanah mengeluh dan menyandarkan tubuh di kerusi.
            “InsyaAllah.” Lelaki yang duduk di sebelahnya itu bersuara perlahan.
            “Kena selesaikan, jangan pandai nak ucap InsyaAllah saja. Jadi profesional. Tunjukkan tauladan dan sikap yang terpuji pada pelajar-pelajar. Bukan pamerkan sikap kebudak-budakkan macam yang berlaku tadi. Imej seorang guru perlu dititikberatkan.” Cikgu Hasanah masih memberi nasihat. Dipandang wajah dua orang guru itu.
            “Ini semua salah saya.”
            Areej tercengang mendengar pengakuan dari lelaki itu. Seketika dia memandang wajah Aish. Aish masih dengan wajah yang tenang. Terpandang juga wajah Cikgu Hasanah yang sudah mengukir senyuman. Wajah guru Penolong Kanan itu tidak lagi tegang seperti tadi.
            “Saya bukan nak dengar pengakuan siapa yang salah, siapa yang teraniaya. Kalau kamu dah mengaku salah, itu tindakan yang paling terpuji, Cikgu Aish. Jangan ulangi kesalahan ini lagi. Bina hubungan yang baik. Tak rugi kalau kamu berdua bekerjasama. Lagi pun kamu berdua antara orang kanan sekolah ini yang saya percayai. Boleh Areej?” Pandangan Cikgu Hasanah pada Areej pula kerana wanita ini tetap mendiamkan diri.
            “InsyaAllah.” Hanya janji ini yang mampu diberikan pada Cikgu Hasanah.
            “Bagus. Lapang fikiran saya.” Cikgu Hasanah masih senyum sehingga kami melangkah keluar dari biliknya. Sapaan Farah dari meja pada Areej tidak diendahkan. Terpandang juga wajah Kak Zehan, Kak Saleha dan Rizuan yang tercengang-cengang melihat derap langkah kaki Areej dan Aish yang seakan tidak sempat-sempat mahu keluar dari ruang pejabat ini.
            Arah tuju kaki Areej hanya satu. Keinginan fikiran dan langkah kaki ini pantas memanjat anak tangga untuk menuju ke Pusat Sumber Sekolah di tingkat atas. Hanya itu saja tempat yang mampu memberi ketenangan pada Areej apabila bersengketa dengan Aish. Di situ jugalah tempat Areej membiarkan guguran air mata mengalir tanpa henti jika hati ini disayat-sayat dengan kata-kata pedas Aish Muhammad. Aish Muhammad tidak pernah menjaga hatinya.
            Menolak pintu Pusat Sumber yang lengang dan sunyi, tangisan yang ditahan tadi tidak mampu untuk dibendung lagi. Teresak-esak Areej menangis sambil menekup wajah. Derap kaki itu kedengaran tetapi hanya diabaikan saja. Mungkin Nurul Iman yang menuruti langkah kakinya ke Pusat Sumber ini. Hanya Nurul Iman yang mengerti perasaannya, yang akan menenangkan dan mendengar segala keluh-kesah Areej.
            “Areej...” suara garau itu menyentakkan Areej. Nada suara itu seakan pernah didengarinya sebelum ini. Tapi otak sudah tepu untuk memikirkan dalam-dalam. Di hadapannya ini tercegat tubuh Aish yang memandangnya. Pandangan Aish yang lain daripada kebiasaan. Tiada renungan mata yang tajam atau sengihan sindiran. Renungan itu lebih kepada pandangan mata yang amat mendamaikan jiwa dan hati Areej.
            I’m so sorry...”ucap Aish perlahan tetapi jelas didengari oleh Areej.
            “Untuk apa lagi Cikgu Aish? Saya dah penat sangat nak berhadapan dengan cikgu. Cukuplah.” Areej merintih dalam tangisan yang belum reda.
            Sorry...lots of sorry from the bottom of my heart....
            Areej menggeleng kepala. Mimpikah dia hari ini kerana mendengar lelaki yang mempunyai ego tahap petala langit kelapan ini memohon maaf?
            “Kita noktahkan sengketa dua tahun saat ini...” ujar Aish.
            “Dah terlambat sangat...” Areej membalas dengan sikap yang sengaja dikejamkan.
            Aish mengeluh perlahan dan duduk di kerusi mengadap Areej yang basah wajahnya dengan linangan air mata yang masih mengalir.
            “Kita masih ada waktu untuk membina hubungan.”
            “Saya tak perlukan hubungan itu wujud antara kita. Tiada istilah kita, Cikgu Aish. Hanya saya dan Cikgu Aish,” putus Areej tegas.
            “Saya yakin kita masih ada ruang dan waktu!” Giliran Aish pula yang bertegas.
            “Wujudnya saya di sini hanya sebagai seorang pendidik yang berbakti untuk anak-anak didik saya. Saya sedar siapa diri saya ini.” Areej bingkas bangun.
            “Areej...maafkan saya...” tutur Aish perlahan. Langkah kaki Areej terhenti seketika. Mengapa setiap kali lelaki itu memanggil nama Areej, jantung ini berdegup lain macam? Debaran ini juga seakan memberi satu perasaan yang aneh. Areej keliru dengan perasaan sendiri.

****

MASIH hambar, masih tiada perasaan. Itu yang dapat Areej simpulkan mengenai hubungannya dengan Aish. Sejak peristiwa tempoh hari, Aish tidak lagi mendekatinya, tidak lagi mencari kesalahan untuk berbalah dan tidak lagi menyakitkan hati Areej. Ini sepatutnya melegakan tetapi Areej merasai sesuatu yang semakin hambar. Jika selama ini jeling-menjeling di antara keduanya menjadi tindakan yang paling gemar dilakukan, namun semua itu sudah tidak berlaku lagi. Aish dengan tugasnya, Areej dengan tanggungjawabnya. Suasana menjadi aman damai tetapi suasana itu semakin mencengkam jiwa dan perasaan Areej. Bingung.
            Bunyi telefon mudah alih yang menandakan satu SMS diterima segera menyedarkan Areej. Dicapai telefon tersebut, dan SMS tersebut adalah kiriman Am. Sejalur senyuman mekar di wajah muram Areej. Jika perhubungan dengan Aish sudah hambar, pertalian yang ingin dibina bersama Am semakin mekar dan membahagiakan. Walaupun lelaki itu masih misteri, Areej sudah menerima kehadiran lelaki itu yang akan menjadi suaminya tidak lama lagi. Biarlah Am terus menyembunyikan identiti. Apa yang Areej perlukan hanya perhatian lelaki itu yang tidak pernah gagal diberikan untuk Areej. Am seorang lelaki yang cukup memahami dan sentiasa bersabar mendengar segala keluh-kesahnya.
           
            +Assalam.Bz ke?Dh breakfast?

            Kiriman SMS itu memang ringkas tetapi padat dengan perasaan yang kian dirasai oleh Areej. Memang benar kata Kak Linda, menerima kehadiran Am tidak akan merugikan. Cintailah lelaki itu. Sayangilah dirinya kerana Am sendiri sering menitipkan kata-kata romantis pada Areej.

            -Wassalam.X bz pn.dh mkn pg td.ni tgh termenung.

            Balasan SMS ini terus dihantar. Saat itu mata Areej terpandang pada tubuh seseorang yang melangkah masuk ke dalam ruang Bilik Guru, menghampiri mejanya dan terus duduk. Areej hanya memerhati. Aish yang tidak sedar sedang diperhatikan kerana nampak sibuk menaip sesuatu di telefon mudah alihnya. Tersengih-sengih dan seketika meleret senyumannya. Untuk siapa senyuman manis itu? Apa yang pasti, saat ini Areej agak terpana dengan senyuman itu. Lelaki itu rupanya mempunyai senyuman yang mempersona. Pandangan Areej ternoktah apabila bunyi SMS yang diterima masuk. Membaca SMS itu, raut wajah Areej semakin tersenyum.

            +Knp tgh termenung?ingtkan sapa?Jgn ingt org lain,awk tu dh jd tunang sy.
         
          -Sj suka termenung.Fikirkan bla la sy ni blh knl awk.tgk awk.jmpe awk.

          +InsyaAllah,tak lama lg awk akn knl,tgk,jmpe n syg sy lbh dr sy syg awk.

            Areej memejamkan mata seketika. Berkali-kali minda ini cuba untuk mencari gambaran seorang lelaki yang bernama Am. Cukup misteri, terlalu menguji kesabaran. Guru-guru lain yang teruja ingin mengetahui siapa tunangan Areej Nisrina hanya mendapat jawapan sama ada gelengan kepala atau jungkitan bahu. Areej tidak kenal, tidak pernah jumpa, tidak pernah tahu siapa lelaki itu. Pengenalan diri hanya sekadar dengan nama yang terdiri dari dua huruf. AM.

****

SAMBUTAN Hari Guru yang amat meriah dan menyeronokkan. Gelak tawa semua pelajar dan sikap terbuka guru-guru dalam menyertai aktiviti yang telah dirancangkan menjadikan pelaksanaan program itu mencapai kejayaan yang maksimum. Areej puas hati. Nurul Iman selaku Pengarah Program Sambutan Hari Guru sudah mampu melepaskan nafas lega yang amat sangat. Gandingan Areej dan Nurul Iman setiap tahun dalam menjayakan program ini tidak pernah gagal. Cuma Areej merasakan sambutan Hari Guru tahun ini amat mengujakan. Senyuman di wajah semua guru adalah satu hadiah yang amat bernilai dan penghormatan yang sangat berharga. Aktiviti sukaneka di tapak perhimpunan tadi tamat dan diteruskan dengan acara di kantin pula. Pelajar-pelajar yang memikul tanggungjawab untuk menjayakan aktiviti ini sudah bersiap sedia. Acara di kantin ini adalah acara kemuncak di mana sesi penyampaian hadiah dan satu slot istimewa untuk mengusik seorang guru yang terpilih. Areej dan Nurul Iman berdoa semoga tidak terpilih untuk slot istimewa itu.
            Berdebar melihat Aizat dan Hanafi selalu pengacara majlis sedang mengoncang sebuah tin biskut yang mengandungi nama-nama guru yang akan dipilih melalui cabutan. Mulut Nurul Iman sudah terkumat-kamit membaca sesuatu. Mungkin Nurul Iman berdoa semoga namanya tidak terpilih. Areej juga semakin tidak senang duduk. Jantung ini berdebar-debar. Rungutan daripada Cikgu Ana, Cikgu Intan, Ustazah Musliha dan Ustazah Faizah mula kedengaran. Nampaknya semua guru-guru menanti dengan penuh debaran dan suspen.
            “Hahh, kami dah ada nama cikgu yang terpilih ni. Nak tau tak?” suara Hanafi yang lantang itu menggegarkan segenap ruang kantin. Para pelajar mula bersorak-sorak.
            “Apa lagi Napi, sebutlah nama cikgu tu,” sampuk Aizat pula.
            “Jeng...jeng...jeng...silakan Cikgu....Cikgu....Aish Muhammad!!” laung Hanafi dan serentak itu tepukan gemuruh daripada pelajar-pelajar. Areej dan Nurul Iman saling berpandangan dan melepaskan nafas lega. Wajah-wajah tegang guru-guru lain juga sudah mengendur. Iqlima sakan benar ketawa kecil, mungkin kerana melepaskan kelegaan dan suka apabila Aish yang menjadi sasaran.
            “Cikgu Aish....sila naik ke pentas yang indah ini...”jemput Aizat. Areej memandang Aish yang masih berlagak tenang dan tiada riak terkejut kerana namanya terpilih. Ustaz Zikri yang duduk disebelahnya sudah menolak-nolak tubuh Aish yang seakan tidak mahu bangun dari kerusi. Pelajar-pelajar lelaki sudah mula nakal dan memanggil-manggil nama Cikgu Aish berulang-ulang kali.
            Melihat lelaki itu bingkas bangun, tepukan gemuruh daripada pelajar bergema. Langkah yang diatur Aish amat tenang dan penuh gaya. Areej yang memandang lelaki itu ikut sama mengagumi perwatakkan yang dipamerkan. Sejak bila pula Aish ini dilihat amat segak dan kacak? Areej mengetap bibir. Aish yang sudah berada di atas pentas bersama Hanafi dan Aizat sudah melambai-lambai pada pelajar. Lelaki itu hanya senyum dan terus senyum.
            “Cikgu, slot istimewa ni memang cukup istimewa. Sebab nama cikgu dah terpilih, cikgu kena jawab semua soalan daripada saya dan teman saya ni. Jawapan cikgu kena jujur dan ikhlas. Jangan tipu-tipu. Kalau tipu berdosa kan cikgu?” usik Hanafi pada Aish.
            Aish mengambil mikrofon yang dihulurkan oleh Aizat. “Malang betul saya hari ini.”
            Kata-kata Aish itu mengundang tawa guru dan pelajar.
            “Cikgu dah sedia?” soal Hanafi. Aish hanya mengangguk. Suasana yang meriah tadi serta-merta menjadi tenang.
            “Soalan yang pertama adalah...berikan nama cikgu dan umur cikgu.”
            “Aish Muhammah Bin Abdul Razak. Umur 31 tahun.”
            “Cikgu berasal dari mana? Apa nama kampung cikgu?”
            “Asal Chenderong Balai Teluk Intan, nama kampung Parit Tali Air 7.”
            “Nama ibu bapa cikgu apa? Bilangan adik-beradik berapa orang? Cikgu anak yang ke berapa?” bertalu soalan dari Aizat pula.
            “Nama ibu Hajah Aminah, nama bapa Haji Abdul Kadir. Adik-beradik enam orang, saya anak yang keenam. Anak bongsu macam Cikgu Areej Nisrina!” ujar Aish dan memandang wajah Areej yang sudah tergamam. Suasana kembali bingit dengan sorakan dan teriakan pelajar.
            “Ehhh...sebut nama Cikgu Areej pulak.” Usik Hanafi bersahaja.
            “Ada lagi soalan ni. Apa status cikgu sekarang? Single and available? Tunangan orang atau suami orang? Jawab jangan tak jawab!” Aizat sudah menggamatkan suasana.
            “Tidak lagi single and available. Masih belum menjadi suami orang tapi saya sudah bertunang dengan seseorang yang amat saya cintai dan sayangi.” Aish masih tidak melepaskan pandangan pada Areej yang hanya terkebil-kebil tidak bersuara. Kedengaran ketawa kecil Cikgu Hasanah dan Cikgu Rozita.
            “Fuhhh...romantik ni. Boleh cikgu bagi tahu kami siapa tunang cikgu tu? Kami semua makin excited ni nak tahu.” Hanafi tersenyum lebar. Aizat sudah menggelejat di atas pentas. Pelajar-pelajar semakin tidak sabar ingin tahu.
            Aish melepaskan nafas yang seakan menyekat kerongkong. Anak mata Areej yang tidak mengalihkan pandangan pada dirinya seakan memberi satu kekuatan untuk meluahkan hakikat yang sebenar. Mikrofon dipegang erat.
            “Cik Areej Nisrina Binti Mustaqim adalah tunang saya...Saya Am...Saya Aish Muhammad!” Lancar sekali sebaris ayat ini keluar dari mulut Aish. Terdengar jeritan Nurul Iman. Kebanyakkan guru-guru sudah melopong tidak percaya. Pelajar-pelajar diam seketika tetapi kemudian meletus tepukan gemuruh seakan mampu meruntuhkan binaan kantin ini. Areej kaku. Am...Aish Muhammad???? Ya Allah.....

****

“PENIPU!!!!”
            Puas hati. Lega. Terkebil-kebil dua pasang mata itu saling bertatapan. Nafas di dada Areej seakan turun-naik dengan laju. Aish hanya mampu tersenyum dan tersenyum manis. Menanti dan menerima apa saja yang akan dilontarkan oleh wanita yang berkecamuk fikiran dan perasaan itu. Wajah itu sudah merah padam. Kalaulah boleh kelihatan asap yang berkepul-kepul dari celah-celah ruang kepala Areej yang dilitupi tudung itu.
            “Cikgu Aish jangan nak buat lawak antarabangsa!” bentak Areej masih marah.
            “Saya tak buat lawak.” Aish menjawab bersahaja.
            “Jangan nak mengada-ngada!” Areej bersuara lantang.
            Aish tersengih. Lucu melihat wajah Areej yang berkerut-kerut itu.
            “Apa hal nak sengih-sengih ni? Saya serius tau.” Areej semakin panas hati dengan sikap Aish yang kelihatan amat bersahaja dan ‘selamber derk’ itu.
            “Saya bagi awak peluang marah-marah dulu,” jawab Aish tenang.
            Areej terdiam. Sudah tepu otak untuk meluahkan kemarahan pada lelaki itu. Entah mengapa, tenangnya wajah Aish itu seakan menyejukkan sedikit perasaannya yang sedang bersimpang-siur ini. Semuanya bagai mimpi di siang hati. Segalanya seakan hanya bayang-bayang di dunia fantasi. Namun, lelaki ini masih tegak berdiri di depannya. Mengukir senyuman manis dan aura dirinya yang sukar untuk ditepis jauh-jauh oleh Areej.
            “Am...minta maaf.” Ucapan ini terluah lagi.
            “Awak tipu!” Sekali lagi Areej menafikan Aish Muhammad di hadapannya ini adalah Am, tunangnya dan bakal suaminya tidak lama lagi.
            “Am sayang awak.”
            “Penipu!”
            “Am cinta awak!”
            Stop it!!!”
            Jeritan kecil Areej membuatkan Aish terdiam tetapi ketawa yang meletus keluar menyebabkan Areej terpana. Kenapa ketawa? Direnung dengan sorotan mata yang tajam pada Aish yang sakan benar ketawa itu. Macam nak gelak guling-guling! Areej mendengus marah.
            “ABC 123, saya sayang saya cinta. Okey tak pantun dua kerat saya ni?”
            Crazy!” seranah Areej.
            I’m crazy over you...Areej Nisrina.”
            “ABC 123, saya sayang saya cinta.” Pantun ini diulang untuk kali kedua. Areej terdiam dan hanya menatap senyuman Aish yang semakin meleret.

****

JODOH pertemuan semuanya telah diatur sebaiknya oleh Allah SWT. Tidak guna menafikan, menidakkan atau pun menolak jauh-jauh pada jodoh itu. Dilontar sehingga ke hujung dunia pun, jodoh dan takdir itu akan mendekati semula dan manusia perlu menerimanya dengan redha dan lapang hati. Inilah yang berlaku sebenarnya. Jodoh Areej Nisrina sudah tertulis untuk Aish Muhammad. Derita? Tidak...bahagia yang mengiringi kehidupan kedua-duanya. Kebahagiaan itu adalah anugerah Allah SWT yang paling berharga. Terima kasih Allah SWT. Syukur ke hadratMu Ya Illahi.
            Pertengkaran, pertelagahan mulut, jeling-menjeling dan sindir-menyindir adalah permulaan dua hati itu ingin bersatu. Aish sudah lama memendam perasaan pada Areej tetapi kerana ego dalam dirinya yang terlalu dijaga rapi, tidak disedari setiap perkataan dan tingkahlaku menguris perasaan Areej. Areej semakin membenci Aish tetapi Aish yang semakin menyintai Areej. Setiap malam, doa dipanjatkan untuk Allah SWT, semoga hati Areej yang keras dan degil itu lembut untuk merasai perasaan cinta yang membahang ini. Namun, dugaan terus dihadapi di mana Areej semakin menjauh dan terus menjauh lantaran tidak sanggup lagi mahu menambahkan luka di dalam hati.
            Nekad untuk memiliki, Aish menjalankan strategi rahsia. Keluarga Areej didekati dengan hati-hati dan secara sembunyi. Berterus-terang pada bakal emak dan abah mertua mengenai perasaan yang mengulit di jiwa Aish. Mujur kedua-duanya berfikiran terbuka dan bersetuju dengan segala rancangan yang ingin dilaksanakan. Bantuan Kak Linda amat diperlukan dan rancangan itu semakin menuju kejayaan. Risikan dan pertunangan akhirnya berjaya juga walaupun menyedari Areej berat hati untuk menerima lelaki misteri yang hanya dikenali sebagai AM. Am adalah singkatan namanya juga iaitu Aish Muhammad.
            “Am sayang awak, Areej.”
            Areej memandang pada Aish yang berdiri tercegat di depan mejanya. Bilik Guru agak lengang, jadi titipan kasih dan cinta Aish ini tidak didengari oleh orang lain. Cikgu Khairul dan Ustaz Zikri ada di meja masing-masing tetapi nampak begitu sibuk menyiapkan tugasan. Tidak mengendahkan apa yang berlaku pada guru-guru lain.
            “Dah tau.” Areej memberi senyuman dan menalakan mata pada buku latihan yang sedang disemak. Adab dan tingkahlaku perlu dijaga walaupun kasih sayang membuak-buak di hati.
            I miss you,” ucap Aish tidak jemu.
            Miss you too,” pandangan mata Areej masih pada buku.
            “ABC 123, saya sayang saya cinta.”
            Areej ketawa kecil. Itu pantun dua kerat yang merepek. Namun, pantun dua kerat itu juga yang menyebabkan Areej menerima huluran kasih Aish. Mengangkat kepala memandang wajah lelaki di hadapannya ini, senyuman Aish menyapa pandangan. Saling tersenyum penuh makna. Hanya Aish Muhammad dan Areej Nisrina yang memahami perasaan yang sedang dirasai. ‘Ya Allah Ya Tuhanku, peliharalah kasih sayang ini semoga kebahagiaan ini milik kami selama-lamaya. Aminn.’

           
           

2 ulasan: