Ahad, 9 Disember 2012

CERPEN : TASBIH CINTA BUATMU

CERPEN : TASBIH CINTA BUATMU

“AHHH....geram!!!” Beberapa hentakan tangan dilagakan di atas meja. Putih tapak tangannya sudah berpijar kemerahan. Sepatutnya berasa sangat sakit tetapi amarah yang bergelora di dalam dada mengatasi kesakitan itu. Satu keluhan nafas diluahkan kasar.
            “Sampai bila kau nak mengamuk macam ni, Izz?”
            Izzara membeliakkan mata memandang Alia yang sudah terkulat-kulat. Renungan mata Izzara yang tajam begitu menakutkan.
            “Sampai bila-bila!” Izzara masih menyentak.
            “Cuba kau tanya mama kau dulu. Minta penjelasan dia.” Alia cuba memujuk Izzara.
            “Nak tanya apa lagi? Mama aku diam je. Aku desak pun dia buat tak tahu je. Sakit hati aku ni tau. Entah makhluk asing mana yang mama kutip. Makhluk asing planet Pluto agaknya,” Izzara mendengus. Kemarahannya masih ada.
            Masih terbayang-bayang pertemuan Izzara dengan insan itu. Perkenalan yang diaturkan oleh mama begitu menyentak Izzara. Insan itu hanya tenang saja. Mama pula begitu ceria dan gembira dengan kemunculan lelaki yang tidak tahu dari mana datangnya. Lelaki yang mama kenalkan itu mengundang perasaan tidak enak di dalam diri Izzara. Izzara mula tidak puas hati. Idlan Izzul Haq. Itulah nama lelaki asing itu.
            “Kau masih tak sembang-sembang dengan dia?” Alia bersoal.
            “Sembang? Nonsense. Tak ada masa aku nak bazirkan air liur aku nak bercakap dengan dia. Mama yang tak habis-habis berbual. Sakit hati aku tau,” bentak Izzara.
            “Sabarlah Izz, aku tak tahu nak kata apa lagi,” Alia menepuk bahu Izzara. Izzara masih membatukan diri. Kemarahannya belum reda. Wajah putih mulus Izzara Maisarah sudah merah. Alia mengambil buku dan fail di atas meja. Sudah berpusu-pusu pelajar memasuki Dewan Kuliah Gugusan 1 (DKG 1). Sebentar lagi kuliah Pengantar Psikologi akan bermula.
            “Jom masuk. Nanti Prof Asmah membebel bila ada yang lambat masuk,” Alia menguit Izzara. Izzara masih masam mencuka. Diambil dengan kasar beg galas dan beberapa buah buku tebal miliknya. Alia hanya menggeleng kepala.
            “Cuba maniskan muka tu. Masam macam buah limau busuk je aku tengok,” usik Alia dan Izzara pantas mencubit pipi Alia. Akhirnya mereka ketawa dan melangkah masuk ke dalam dewan kuliah bersama pelajar-pelajar yang lain.

***


LAUNGAN suara mama tidak diendahkan. Izzara masih terlentang berbaring di atas katil. Berselerak dengan pelbagai majalah dan juga beberapa helai pakaian. Seketika suara mama tidak kedengaran tetapi bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu. Izzara mengambil sebiji bantal dan menekup ke telinga. Tidak mahu mendengar apa-apa. Biarkan. Biarkan saja.
            Izzara diam walaupun telinganya mendengar daun pintu terbuka perlahan. Pasti mama akan membebel kerana kedegilannya.
            “Izzara Maisarah!”
            Izzara bungkam. Suara garau dan tegas menerjah ke pendengaran. Itu bukan suara mama. Itu suara makhluk asing Planet Pluto! Izzara mencampakkan bantal dan bingkas bangun. Dia kini bertentang mata dengan lelaki itu. Marah Izzara meluap-luap lagi.
            “Apa hal masuk bilik orang ni?” Izzara menengking kuat.
            “Mama panggil makan sekali.” Lelaki itu menjawab tenang. Setenang wajahnya tetapi aura itu tidak mampu mengurangkan kemarahan dalam lubuk hatinya.
            “Itu mama Izzara bukan mama awak!” Dihamburkan lagi rasa marahnya. Jelik saja mendengar lelaki itu memanggil mama dengan panggilan mama juga.
            “Mama abang juga!” Noktahnya bersahaja.
            “Keluar! Keluar dari bilik Izzara sekarang!” Izzara menjerit-jerit menghalau lelaki itu. Dibalingnya majalah dan bantal ke arah lelaki itu. Macam orang gila saja lagaknya. Ahh, Izzara tidak peduli. Yang pasti dia tidak mahu bertatapan dengan lelaki itu. Abang? Sepanjang hidupnya, tidak pernah wujud abang. Hanya Izzara satu-satunya anak mama dan papa.
            Pintu bilik tertutup rapat semula. Izzara sudah menangis teresak-esak. Rasa pilu dan sedihnya bertunas semula. Izzara rindu pada papa. Papa tidak lagi datang menemuinya seperti kecil-kecil dahulu. Papa amat menyayangi dirinya. Papa manjakan dirinya. Izzara mahukan sebuah keluarga yang lengkap dan bahagia. Punya papa dan mama yang sentiasa ada di hadapan matanya. Izzara mahu dibelai oleh papa dan mama seperti Nora, Erna, Husnina, Shida dan Shoba. Teman-temannya itu punyai papa. Tidak seperti dirinya, hanya mama yang menemani ke sekolah, membeli-belah dan juga menjaga sewaktu dia sakit. Hanya mama.
            “Papa, Izz rindu papa...” rintih Izzara dalam sendu. Air matanya tidak dapat dibendung lagi. Kerinduan pada papa tidak pernah berkurangan. Sampai bila-bila.

***

IZZARA menoleh-noleh melihat sekeliling. Sunyi. Bayang mama tiada. Pasti mama masih di dalam bilik seperti selalunya. Mama akan menyiapkan tugas-tugas seorang guru di bilik bacaan. Inilah masa yang sesuai. Izzara pasti mama tidak menyedari dirinya sedang menyelinap keluar dari rumah. Sudah terbayang-bayang tayangan filem Transformers yang akan ditonton bersama teman-teman di panggung wayang di Bandar Alor Setar. Aqil, Firdaus, Luqman dan Annaz beria-ia benar mengajaknya sejak semalam.
            Lagak seperti pencuri, Izzara mengambil kunci kereta yang tergantung dengan perlahan. Senyuman sudah tersungging di wajahnya. Beberapa langkah lagi sebelum dia bebas keluar. Tombol pintu dipulas amat hati-hati. Jangan sampai ada bunyi yang boleh menyedarkan mama. Pintu yang terkuak sedikit, melangkah keluar dan langkahnya terhenti. Sekujur tubuh itu sudah terpacak di hadapannya. Masih tersarung baju melayu dan kopiah di kepalanya. Izzara bungkam lagi.
            “Nak ke mana?” Suara garau itu menyoal perlahan.
            “Apa hal nak menyibuk?” Izzara menjawab dengan perasaan jengkel.
            “Abang nak tahu Izzara nak ke mana? Dah pukul 10 malam ni,” Dia masih lagi tidak berganjak. Izzara meghentak kaki tanda protes. Segera mendekati kereta Proton Gen2 yang terparkir. Laju saja tangannya menolak kunci kereta dan membuka pintu. Saat itu, lengan Izzara dipegang kejap. Izzara menjerit.
            “Abang tak benarkan Izzara keluar malam ni.” Suara garau yang tenang tadi bertukar tegas. Izzara terkial-kial melepaskan pegangan lelaki itu.
            “Apa Izzara peduli? Izzara dah janji nak keluar dengan kawan-kawan. Lepaskan tangan Izzara sekarang!”  jerit Izzara. Tubuh lelaki itu ditolak kasar. Namun tenaga dirinya tidak mampu mengatasi pegangan kuat lelaki itu.
            “Kalau Izzara nak juga keluar, abang ikut. Bawa abang sekali.” Tegasnya bersuara.
Lelaki itu menarik tubuh Izzara menuju ke tempat duduk kereta. Izzara sudah meronta-ronta tetapi gagal. Lelaki itu kasar menolak tubuh Izzara masuk ke dalam kereta. Pintu ditutup kasar juga. Izzara menjadi takut pada lelaki itu. Wajah tenangnya sebelum ini sudah menjadi tegang. Izzara diam saja duduk di dalam kereta, membiarkan lelaki itu menghidupkan enjin kereta dan kereta meluncur keluar dari perkarangan rumah.
Izzara bungkam diam. Lelaki itu juga diam tetapi tenang memandu kereta. Jelingan mata Izzara pada lelaki di sebelahnya itu tidak berbalas. Dengan memeluk tubuh, memasamkan wajah dan menahan marah, Izzara sudah memaki hamun lelaki itu dalam hatinya. Izzara sakit hati.

***

MATA bulat Izzara sudah bengkak. Semalaman dia menangis bersungguh-sungguh. Mama masih memujuk tetapi tetap juga air matanya laju mengalir. Perasaannya benar-benar hiba. Menyesali rasa hatinya yang tidak pernah memberi ketenangan. Ego dalam dirinya seakan bernilai sifar. Perasaan malu menguasai diri. Mana mahu disembunyikan wajahnya yang penuh ego sebelum ini? Adakah masih ada ruang-ruang yang mampu melindungi kebodohan yang diagung-agungkan selama ini? Izzara menangis lagi. Ahh..Izzara Maisarah Binti Adham Jazman, bodohnya dirimu!
            Jika diturutkan permintaan rakan-rakan pada malam itu, pasti Izzara sedang menghuni lokap Balai Polis Alor Setar. Bertemankan air mata pun pasti tiada istilah penyesalan yang boleh diluahkan jika perkara itu sudah berlaku. Kehidupan Izzara selama ini sememangnya agak bebas. Mama sudah penat menasihati tetapi Izzara masih degil. Mama acap kali meminta dirinya lebih menjadi ‘gadis melayu’ yang bertudung dan memakai baju kurung tetapi Izzara masih selesa dengan seluar jeans, t-shirt atau skirt. Sampai bila? Izzara tidak pasti. Namun berita penangkapan teman-teman yang sedang bersuka-ria di kelab malam seakan menyedarkan Izzara supaya dirinya perlu berubah demi kebaikan diri-sendiri, mama dan sesiapa sahaja yang berkaitan dengannya.
            “Assalammualaikum.” Ucapan itu menyentakkan Izzara.
            “Boleh abang masuk?” Dia masih merenung ke arah Izzara. Izzara membetulkan rambut yang kusut-masai. Saki-baki air mata disapu oleh jemarinya. Tidak tahu apa yang perlu diucapkan pada lelaki itu. Mengizinkan dia masuk ke dalam bilik atau pun mengusirnya seperti sebelum-sebelum ini. Izzara membalas renungan si dia. Seakan memahami maksud renungan itu, lelaki itu melangkah masuk ke dalam bilik.
            “Nak temankan abang pergi shopping?” Soalnya lembut. Senyuman amat manis terlakar di wajahnya. Izzara seakan terpana dengan senyuman itu. Hatinya seakan tenang. Hebatnya aura senyuman lelaki yang bernama Idlan Izzul Haq.
            “Err..ke mana?” Agak tergagap-gagap suara Izzara.
            “Kita pergi Giant Supermarket nak tak? Abang nak shopping,” ujarnya girang.
            Izzara diam. Hatinya ingin benar bersama lelaki itu tetapi sedetik egonya menegah.
            “Abang tunggu kat ruang tamu. Izzara siaplah ye.” Dia senyum lagi dan keluar dari bilik. Izzara hanya termanggu dan tergamam. Terbayang-bayang manisnya senyuman lelaki itu. Kenapa tiada amarah meletus apabila bertatapan dengan wajah itu?
Di ruang Pasaraya Giant, Alor Setar. Langkah demi langkah lelaki itu hanya dituruti tanpa banyak tanya dan hanya membisu sejak tadi. Troli yang kosong tadi sudah separuh diisi dengan pelbagai barang seperti makanan dalam tin, buah-buahan dan makanan ringan. Izzara hanya perhatikan saja gelagatnya yang seperti setahun tidak pernah membeli-belah. Ahh, dia yang bayar, aku peduli apa!
            “Izzara, senyumlah sikit. Janganlah masam je.” Suara itu mengejutkan Izzara.
            “Orang tengok muka Izzara masam je mesti ada yang fikir kita ni bergaduh.” Dia sudah gelak-gelak dengan jenakanya sendiri. Izzara tidak pasti mana lucunya pernyataannya itu.
            “Biarlah. Izzara tak kisah. Banyak lagi ke nak beli ni? Awak ni beli banyak-banyak kenapa?” Izzara sedikit membentak. Lenguh juga kakinya menapak di dalam Pasaraya Giant ini.
            “Awak?” Dia tiba-tiba berhenti melangkah. Izzara yang berjalan di belakangnya tidak sengaja merempuh tubuhnya. Dia mencerlung wajah Izzara. Izzara cepat-cepat menjarakkan tubuh.
            “Cuba guna panggilan abang. Tak boleh ke?” Matanya tajam memandang Izzara.
            “Kenapa pulak?” Izzara mencebik.
            “Tanda hormat pada abang yang lapan tahun lebih tua dari Izzara,” jawabnya tegas.
            “Tak nak. Kalau dah tua sangat elok panggil pakcik aje. Boleh kan? Tanda hormat jugak tu!” Izzara mula degil. Wajah serius lelaki itu sedikit mengendur dan akhirnya dia tersenyum. Sekali lagi Izzara terpana melihat senyuman itu. Betapa dia baru menyedari, lelaki di hadapannya ini memang kacak dan begitu mempersona. Butakah matanya menilai dirinya sebelum ini?
“Kalau panggil abang sayang lagi bagus,” Dia mencuit hidung Izzara dan ketawa terhambur. Izzara terkulat-kulat. Terasa panas wajahnya diperlakukan begitu. Namun, ada sejalur rasa aneh menyerbu dalam sanubarinya. Tenang dan bahagia.

***

ALIA teruja sekali melihat perubahan Izzara hari ini. Sangat berbeza. Sangat ayu dan anggun. Izzara yang sememangnya cantik, bertambah cantik apabila gadis itu menggayakan sepasang baju kurung kain cotton bercorak bunga-bunga kecil warna ungu gelap. Dipadankan lagi dengan gaya tudung ala-ala Wardina. Memang ayu. Alia mengerdipkan mata beberapa kali.
            “Yang kau terbeliak mata tengok aku ni kenapa? Nampak aku ni berubah jadi alien ke?” sergah Izzara pada Alia yang sudah mula tersengih-sengih.
            “Apa jadi Izz? Apa jadi sepanjang seminggu kita cuti mid-term ni?” Alia mencubit pipi Izzara. Izzara menepis. Marah kerana jemari Alia seperti ketam saja.
            “Perubahan. Itu yang berlaku,” jawab Izzara penuh makna. Terbayang-bayang seraut wajah tenang yang sentiasa senyum itu. Segala-galanya menjadi begitu damai dan membahagiakan sejak lelaki itu wujud dalam dirinya.
            “Siapa yang berjaya mengubah kau ni Izz?” Alia bertanya. Pasti ada seseorang yang begitu hebat berjaya mengubah Izzara Maisarah yang lebih berfesyen kebaratan sebelum ini berbanding berubah menjadi gadis melayu terakhir saat ini.
            “Adalah seseorang tetapi aku berubah sebab aku nak berubah. Berubah ke arah kebaikan demi Allah SWT. Inilah jihad aku Alia. Aku tak nak lagi macam dulu. Walaupun aku bebas ke sana sini, aku abaikan saja nasihat mama, tetapi jiwa aku tak pernah tenang. Alhamdulillah, pintu hati aku terbuka dan aku percaya ini semua nur petunjuk Allah kan?” Panjang lebar penjelasan dari Izzara. Alia mengangguk kepala. Apa yang pasti, Alia bersyukur ke hadrat Illahi.

***

IZZARA menghitung hari. Sabarnya semakin menipis. Namun keterujaannya pula semakin bertambah. Semuanya kerana lelaki yang bernama Idlan Izzul Haq. Suara garau tetapi romantis, aura ketenangan yang sentiasa dirasai dan juga lakaran senyuman manis yang selalu mendamaikan jiwa. Semuanya hanya dimiliki oleh lelaki itu. Khayalan Izzara bercempera apabila bunyi nada dering lagu Tercipta Untukku, nyanyian kumpulan Ungu lantang daripada telefon mudah alihnya. Senyuman sudah tersungging dari raut wajahnya apabila terpandang nama itu di skrin telefon.
            “Assalammualaikum.” Ucapan salam diunjukkan kepadanya.
            “Waalaikumsalam. Izzara sihat? Tengah buat apa?” Dia bertanya.
            “Sihat. Ni tengah kira hari nak balik rumah.” Izzara membuat jenaka dan lelaki di talian itu ketawa. Bahagia hati Izzara mendengar ketawa lelaki itu. Berbunga-bunga hatinya.
            “Tak sabar sangat ke? Atau rindukan abang kat sini?” Duganya bersahaja.
            Izzara terpaku mendengarnya. Wajahnya seakan merona merah. “Ehh, jangan nak perasaan ye. Buat apa nak rindu kat abang?” Panggilan abang sudah tidak ada kekoknya lagi.
            “Abang rindu kat Izzara.” Luahan ini menyentak Izzara. Seakan jantungnya berhenti berdegup. Benarkah titipan rindu itu untuk dirinya?
            “Err...thanks.” Hati Izzara semakin bercelaru.
            “Jaga diri. Study elok-elok ye. Jangan nakal-nakal,” pesannya disulami oleh gelak ketawa kecil. Izzara ikut ketawa. Alia yang baru saja melangkah masuk ke dalam bilik terpinga-pinga melihat gelagat Izzara yang sudah terlentok di hujung katil. Senyuman masih meleret-leret di wajah teman sebiliknya itu.
            “Angau je...” sindir Alia apabila melihat Izzara sudah meletakkan telefon mudah alih. Masih ada senyuman yang begitu ceria di wajah putih mulus Izzara.
            “Bila masa aku angau?” bidas Izzara tidak mengaku.
            Alia yang sedang menyisir rambut pantas saja mencebik. “Mengaku saja yang kau sedang dilamun cinta. Jangan nak tipu aku la Izz.”
            Izzara diam saja tetapi dia menggeleng kepala. Dilamun cinta? Tidak mungkin. Dia tidak pernah jatuh cinta pada mana-mana lelaki walaupun selama ini ada saja jejaka yang mencuba nasib meletakkan cinta dalam diri Izzara. Namun, mengingati semula titipan rindu dari lelaki itu, hati Izzara digamit satu perasaan yang halus dan aneh. Perasaan cinta? Izzara tidak pasti. Apa yang dia akui, bersama lelaki itu, dirinya terasa dilindungi dan disayangi.

***

MAJLIS Hari Jadi Ke-25 seakan tidak bermakna. Perasaannya sedih dan pilu. Dia sudah puas menangis. Hatinya sebal dan kecewa. Kenapa dia pergi tanpa perlu menunggu sehingga selesai majlis yang sudah dirancang awal-awal ini? Sampai hatinya. Begitu tegar hatinya pamit pergi tanpa pesan. Mama sudah memujuk. Namun hatinya yang pilu ini tidak terpujuk dengan kata-kata lembut mama. Mama mengingatkan dirinya supaya tidak menyalahkan lelaki itu. Perginya bersebab. Bukan sengaja dia  berbuat begini. Inilah yang mama ingatkan beberapa kali.
            Kehadiran teman-teman lama seperti Nora, Erna, Husnina, Shida dan Shoba amat bermakna tetapi masih terasa kekurangan. Kemunculan Ain, Auni dan Soleha sememangnya tidak disangka sama sekali. Gembira sekejap apabila dia bergurau senda bersama-sama teman yang sudah punya haluan masing-masing. Sesungguhnya pesanan di dalam laman sosial Facebook benar-benar berkesan. Perhubungan bersama teman-teman lama bertaut semula. Syukur alhamdulillah.
            Malam itu, Izzara hanya memandang himpunan hadiah-hadiah pemberian teman-teman. Masih tiada keinginan untuk membuka satu-persatu hadiah tersebut. Bukan Izzara tidak menghargai tetapi hatinya masih sedih memikirkan ketiadaan si dia. Seakan senyuman manis lelaki itu berlegar-legar di ruangan matanya. Suara garau tetapi romantis masih terngiang-ngiang di telinga. Aura dirinya yang sentiasa tenang masih dirasai. Namun, semua ini hanya khayalan. Si dia tiada di depan matanya. Tanpa sedar, sebutir demi sebutir air mata mengalir perlahan. Izzara menangis lagi kerana seorang lelaki bernama Idlan Izzul Haq!
            Bunyi ketukan pintu yang perlahan, daun pintu terbuka dan muncul wajah mama. Mama memberi senyuman tetapi Izzara hanya hambar saja menerima. Izzara masih bungkam sambil mendakap bantal. Masih melayan perasaan. Mama duduk di sisinya, mengusap penuh kasih rambut Izzara. Perubahan anak gadis ini memberi seribu rahmat dalam hidupnya. Mama benar-benar bersyukur. Hati sekeras konkrit Izzara Maisarah menjadi selembut kapas. Alhamdulillah.
            “Sudahlah, jangan sedih lagi. Dah tak cantik anak mama ni,” Mama memujuk.
            “Izzara sedih. Sampai hati abang pergi macam tu je. Tak cakap kat Izzara langsung!” protes Izzara melampiaskan rasa hatinya.
            “Abang pergi bersebab. Dia kena balik Jordan. Izzara pernah tanya tak kenapa sebulan je abang kat sini? Izzara pernah tanya ke tak apa yang abang buat selama ni? Siapa abang sebenarnya?” Pertanyaan mama ini seakan menyentakkan Izzara. Entah kenapa baru saat ini Izzara menyedari pertanyaan sebegini tidak pernah terluah dari mulut ini pada lelaki itu. Izzara memandang wajah mama dengan penuh tanda tanya. Mama masih dengan senyuman kasih seorang ibu.
            “Ini dari abang. Istimewa dari abang untuk Izzara.” Mama meletakkan sebuah kotak sederhana besar yang dibalut cantik dengan pembalut kertas warna biru. Warna biru kegemaran Izzara. Lelaki itu masih ingat kegemarannya yang satu ini.
            “Izzara jangan prasangka pada abang lagi. Bukalah hadiah pemberian abang ini. Izzara akan tahu apa yang Izzara nak tahu. Selamat hari lahir sayang. Semoga anak mama akan sentiasa bahagia, ceria dan senyum selalu.” Mama mencium dahi Izzara dan didakapnya tubuh dengan penuh erat.
            “Izzara sayang mama...” luah Izzara perlahan.
            Saat mama keluar dari bilik, rasa tidak sabar memuncak untuk mengetahui apa yang diberikan oleh lelaki yang istimewa itu. Rakusnya dia merobek pembalut hadiah. Tidak perlu lambat-lambat lagi. Membuka penutup kotak, Izzara tergamam. Seutas tasbih berkilauan di hadapan matanya. Warna butir-butir tasbih itu memukau perasaan Izzara. Jemari runcingnya menyentuh tasbih itu dan digenggamnya erat. Izzara terpandang pula pada sehelai kain warna warna biru gelap. Diangkatnya kain itu. Sehelai jubah yang amat cantik dengan hiasan manik-manik dan sulam di bahagian leher dan lengan. Tekstur jubah itu sangat lembut. Diciumnya jubah itu penuh perasaan. Dicapainya juga sehelai selendang warna senada dengan jubah. Sehelai sampul surat jatuh di hujung kaki Izzara.

Ke hadapan Izzara Maisarah,

Sebelum memulakan bicara di warkah ini, abang memohon maaf pada Izzara kerana perlu pulang menyambung pengajian di Yarmuk University Of Jordan untuk semester yang terakhir. Apa daya abang untuk menolak untuk pulang kerana ini adalah tanggungjawab abang yang perlu abang lunaskan. Selamat hari lahir ke-25, Izzara. Semoga pertambahan usia ini semakin mendewasakan Izzara dan abang harap Izzara tidak lagi meneruskan sikap keanak-anakan seperti dulu.

Izzara sayang,

            Seharusnya abang pulang ke Malaysia adalah dengan tujuan untuk mengenali mama dan anak gadis papa yang sering meniti namanya di ulas bibir papa. Kita punya papa yang sama tetapi kita bukan ada hubungan sedarah. Papa yang merantau ke Mesir bertemu jodoh dengan umi yang masa itu telah ditinggalkan suami tercinta yang pergi mengadap Illahi. Umi kehilangan kasih seorang suami manakala abang yang masih kecil menagih kasih dan sayang dari papa. Papa menyayangi abang seperti anak kandungnya sendiri. Dan hasrat papa hanya satu. Papa mahu menyatukan kita. Papa mahu abang memiliki Izzara. Menjadikan Izzara suri di hati abang.

Izzara yang abang kasihi,

            Pertemuan pertama, Izzara Maisarah adalah seorang gadis yang degil, ego dan keras kepala. Abang berusaha melentur Izzara. Alhamdulillah, mama sentiasa memberi sokongan. Mama sentiasa memberi peransang pada abang supaya bersabar melayan kerenah Izzara. Akhirnya gadis yang ego ini menjadi lentur dan lembut. Abang kagum dengan kecantikan Izzara yang bergabung dengan keperibadian yang semakin baik. Indahnya Izzara Maisarah adalah kerana cantiknya senyuman dan lirikan mata. Abang benar-benar jatuh cinta.

Izzara Maisarah Binti Adham Jazman,

            Abang yakin kita akan bersatu jiwa dan hati. Namun, kita akan berjauhan buat seketika. Abang punya tanggungjawab untuk menamatkan pengajian, begitu juga Izzara. Papa dan mama merestui hubungan ini. Jadi, ketiadaan abang ini, abang berikan seutas tasbih buat peneman Izzara. Berzikir dan bermunajat pada Allah SWT kerana setiap hembusan nafas Izzara, abang menitipkan rasa rindu dan kasih buatmu. Dekatkan diri pada Allah Yang Maha Agung kerana hidup kita tidak akan lengkap jika kita memalingkan diri dari Illahi. Abang mohon ampun maaf setulus hati abang. Bukan abang mahu menyembunyikan hakikat tetapi abang mahu Izzara menerima huluran kasih abang dengan seikhlasnya bukan terpaksa. Ingat janji abang. Abang sayang Izzara.

           
                                                                                                Yang jauh dari mata tapi dekat dihati,
                                                                                                                     Idlan Izzul Haq

Izzara mengucup warkah itu penuh kasih dan sayang. Inilah rupanya perasaan yang sentiasa meniti di hatinya. Perasaan sayang, rindu, kasih dan cinta untuk lelaki yang bernama Idlan Izzul Haq. Ya Allah, aku bersyukur pada takdir ini. Sesungguhnya, berilah aku kekuatan untuk menempuh kehidupan ini. Maha Suci Allah SWT, rahmatMU memberi kebahagian kepada diriku.
            Ya Allah kekalkan cinta kami di dunia dan di akhirat. Ya Allah masukkan kami ke dalam syurga Firdaus-Mu agar kami dapat terus bercinta selama-lamanya. Amin.” Inilah titipan doa kudus Izzara pada Illahi. Senyuman lelaki itu seakan-akan jelas di mata.
            “Izzara sayang abang.” Bisikan cinta Izzara pada lelaki itu.

                                                                                                
       

1 ulasan:

  1. Assalam.utk geng2 aqil,tq krn benarkn sy guna nama2 korang.tq.

    BalasPadam