Ahad, 9 Disember 2012

NOVEL : HANYA KAU KEKASIHKU 1,2

HANYA KAU KEKASIHKU


NIA QISZARA percaya cinta kali kedua bagai tiada peluang untuk menitip dihatinya. Baginya lelaki sama sahaja, pendusta, pengkhianat dan curang. Mana mungkin dirinya tegar untuk menyerahkan cinta dan sayangnya untuk seorang lelaki. Perasaannya perlu dijaga sebaik mungkin supaya tidak dicalar lagi oleh mana-mana lelaki. Cukuplah sekali dia dikhianati dan dikecewakan kerana sakitnya ibarat ditusuk dengan duri berbisa dan bernanah tanpa sembuh. Biarlah Allah SWT yang menentukan pertemuan jodoh untuknya kerana tidak mungkin dia akan menjaja sayang dan cintanya sekali lagi.
            Namun, kehadiran insan itu seakan membawa sinar kebahagian disayangi dalam diri Nia Qiszara. Hanya dengan senyuman Encik Jazman, hati batu Nia Qiszara seakan cair dan luluh. Begitu hebat aura lelaki itu walaupun ego hati perempuannya sering menafikan. Sedaya upaya dia menepis perasaan yang menghampiri lubuk hatinya, Nia Qiszara semakin takut kenangan bersama Ikhram berulang lagi. Kehadiran Ikhram yang tetap menagih kasih Nia Qiszara menyesakkan hatinya. Iskandar pula mencuba nasib meletakkan kasihnya. Ahh, lelaki itu tidak pernah berputus asa. Nia Qiszara bingung dengan perasaan dalam dirinya.
            Antara Encik Jazman yang berstatus duda anak satu dan Iskandar lelaki bujang yang lengkap ciri-ciri lelaki idaman, Nia Qiszara mula membuat bandingan. Yang mana satu? Mungkinkah dia kembali pada cinta lama bersama Ikhram kerana lelaki itu sering berjanji untuk membaiki segala kesilapannya? Mungkin juga menerima huluran kasih Iskandar? Ataupun menyambut kasih tulus Encik Jazman yang tidak pernah luntur? Hanya hati kecil Nia Qiszara yang tahu pilihan hatinya. Hanya senyumanmu yang membuatku melafazkan sayang.
Airis Addiana
PROLOG

AKU sangat bahagia. Terlalu bahagia saat ini. Betapa erat genggaman tangannya, aku benar-benar tenang. Kami hanya membisu dan meneruskan langkah menyusuri pepasir putih. Angin bayu bertiup lembut, deruan ombak dan burung camar yang berterbangan, aku seakan tidak mahu memejamkan mata walau sesaat. Aku mahu menghayati setiap ruang yang ada, apatah lagi di samping insan yang amat kusayangi sepenuh hati ini. Aku semakin mengenggam erat jemarinya yang bersatu dengan jemariku. Indahnya saat ini.
            Kami terus melangkah. Masih tiada bicara. Hanya ombak yang bersuara sambil membelai pantai yang begitu setia menanti. Aku leka dengan ketenangan alam dan aku menoleh mahu menatap wajah tenang si dia...tetapi tiada. Aku tergamam. Dia dimana? Kemana perginya? Aku kesedihan. Amat sedih ditinggalkan tanpa pesanan. Aku jerit namanya berulang kali. Bergema suara aku di tepian pantai cuba melawan suara ombak yang kian mengganas. Aku memanggil lagi namanya dengan harapan panggilan aku dijawab oleh dia. Tapi aku hampa. Aku ditinggalkan keseorangan. Aku mula menangis.
            Kemana dirinya menghilang? Kenapa aku ditinggalkan? Aku amat menyayangi dirinya. Aku setia padanya. Aku kasih dirinya. Semuanya perasaan yang ikhlas dariku untuk dirinya. Aku terus menangis dan terjelepuk di dada pasir. Aku dakap erat tanganku sendiri. Aku merintih. Jiwa aku kosong dengan ketiadaan dirinya disisiku. Ombak menghempas tubuhku. Ibarat aku dihukum oleh alam. Kemana dirinya pergi? Bagaimana begitu tegar dia membuat aku sendirian sebegini? Aku terus tersedu-sedu kesedihan.
            Aku terjaga. Mata aku terbuka luas dan aku bingkas bangun. Pipi aku basah dengan linangan air mata. Ya, aku menangis di alam mimpi dan realiti. Dalam bilik yang gelap, aku memeluk lutut. Aku bermimpi lagi tentang dirinya. Dirinya yang juga cinta hatiku sedetik waktu dahulu. Adakah dia masih ingat padaku seperti aku yang masih mengingati dirinya sehingga di alam mimpi? Aku masih menantikan jawapan yang sebenarnya ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Berulang kali aku beristighfar untuk mengembalikan semula kekuatan aku. Hampir tenang, aku baring semula. Terkebil-kebil mata aku menjelajah segenap ruang kamar. Wajah itu masih jelas difikiran. Aku pejam mata. Lupakan saja. Untuk apa dikenang lagi?
            Sekejap beralih ke kanan, sekejap ke kiri, aku tidak dapat melelapkan mata lagi. Aku bangun dan duduk bersila. Sempat aku kerling jam di atas meja. Pukul 3.45 pagi. Di ambang waktu ini, seharusnya aku tidur dengan lena. Namun, dengan emosi yang terganggu oleh mimpi yang mencarikkan perasaan aku, mata ini tidak akan lelap. Masih terbayang raut wajahnya, senyumannya, kasih sayangnya serta pengkhianatannya. Aku meraub muka, mula menitipkan istighfar lagi. Aku melangkah menuju ke bilik air. Tergerak hati ini untuk menunaikan solat sunat dan tahajjud. Biar hati ini kembali tenang setelah aku menyembah Penciptaku, Allah Yang Maha Agung.
            Usai solat tahajjud, aku masih berteleku di atas sejadah. Mengalunkan zikir menyebut nama Allah SWT berulang-ulang. Terasa ketenangan dan kedamaian menyelubungi diri ini. Aku masih ingat pesanan emak, hanya pada Allah SWT kita memohon ampun dan meminta ketenangan. Ingat pada pesanan itu, semerta aku rindu pada emak, ayah dan adik. Tika ini semangat aku tetap ada kerana emak dan ayah yang sentiasa menjadi tulang belakang aku. Aku tidak lagi bersandar pada orang lain. Cukuplah dengan kehadiran keluarga yang akan sentiasa jujur, ikhlas dan setia untuk diriku dari dahulu dan selama-lamanya.
            Adakah aku akan bercinta, menyintai dan dicintai lagi? Persoalan ini seakan sudah tepu di fikiran. Aku cuba untuk mengelakkan diri dari menyemai kasih dan cinta. Namun, aku masih teringat kata-kata Samiah pada aku sebelum ini ‘Hebat sangat ke diri kita ni untuk menidakkan perasaan yang Allah SWT cipta untuk manusia?’ Aku masih mencerakin sebaris ayat Samiah, teman serumahku ini. Manusia akan punyai perasaan sayang, cinta, kasih dan rindu. Mustahil jika manusia tidak mempunyai empat elemen itu dalam diri. Aku bukan tidak mahu berkasihan lagi, tetapi aku takut ditimpa dengan tragedi percintaan yang pasti akan meranapkan perasaan aku untuk kali kedua. Cukuplah, dia telah menyakitkan hati aku. Cukuplah dia sahaja yang menjadikan hati aku sekeras konkrit. Cukuplah hanya dia yang pernah aku sandarkan kasih dan sayang yang akhirnya derita yang aku gapai.
            ‘Nia Qiszara, hatinya sudah sekeras batu, kasihnya untuk seorang yang bernama lelaki seakan sudah pudar dan pupus setelah mengecap derita. Mungkinkah hati yang keras itu akan lentur? Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui segala-galanya...’

 BAB 1

BERKERUT-kerut dahi aku cuba memahami tulisan ‘doktor’ Encik Hairi. Satu demi satu perkataan yang aku baca semakin bersambung-sambung dan senget. Otak aku ikut senget dengan tulisan Encik Hairi. Nampaknya Encik Hairi tersilap profesion. Sepatutnya dengan tulisan berpintal dan berkecamuk ini lebih layak menjadi doktor bukan sebagai seorang penolong pegawai kebajikan masyarakat.
Aku angkat kertas mendekati mata, bulat mata aku membacanya tetapi masih gagal memahami maksudnya. Hanya aku fahami adalah tajuknya yang berkaitan dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan prosedur perlindungan kanak-kanak yang didera. Entah kes penderaan siapa pula yang telah diuruskan oleh Encik Hairi? Dan aku pelik juga sejak bila Encik Hairi terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak. Bukankah pengkhususan Encik Hairi adalah Orang Kurang Upaya (OKU)? Aku mendengus marah. Aku tidak boleh berterusan memaksa untuk memahami tulisan ‘hebat’ ini. Aku give up.
            Aku keluar dari bilik, menonong menuju ke bilik Encik Hairi. Seperti tahu aku mahu menemuinya, pintu bilik Encik Hairi terbuka luas. Aku ketuk dan meluru masuk. Encik Hairi terpinga melihat aku yang sengaja memasamkan wajah. Buat muka serius Zara.
            “Awat Qis? Muncung mulut tu sampai sedepa?” tegur Encik Hairi ramah.
            “Encik Hairi tau tak dah berpintal otak saya ni baca tulisan Encik Hairi yang cantik. Pening!” rungut aku dan meletakkan helaian kertas itu di hadapan Encik Hairi. Lelaki berusia 48 tahun itu ketawa sakan. Aku pula mendengus marah dengan sikapnya.
            “Aii...dah lama Qis kerja kat sini pun tak boleh nak baca tulisan saya?” Encik Hairi tersenyum. Aku mengeleng-geleng kepala.
            I can’t...only Jessy can do it...” aku menjawab.
Aku duduk di kerusi di hadapan Encik Hairi dan mengenyitkan mata padanya. Wajah masam aku tadi bertukar ceria. Memang sengaja aku membuat gaya seperti merajuk dan pening kepala. Biar Encik Hairi sedar tulisannya itu telah membuat otak aku berterabur seketika.
Ya, hanya Jessy yang mampu memahami tulisan cakar ayam Encik Hairi. Ini pun kerana Jessy adalah pembantu tadbir operasi yang menguruskan hal surat-menyurat. Untuk tempoh ketiadaaan Jessy aku pula menjadi bidan terjun mengantikan Jessy bagi membantu Encik Hairi. Jessy bercuti seminggu kerana menghadiri majlis perkahwinan sepupunya di Hong Kong. Melancong sekali agaknya. Aku membuat andaian.
            “Jessy MC hang la kena ganti sat. Bukan lama pun. Saya hanya berharap pada awak. Susahlah saya kalau awak tak tolong..” jelas Encik Hairi lembut.
            “Tak boleh nak baca...bukan tak nak tolong...” luah aku sambil memuncungkan mulut.
            You ni memang manja la Qis. Patutlah Fiq sayang nak tinggal Wisma. Rugi saya tak grab awak awal-awal dulu..first time you’re coming here...”
            What? Manja? Stop it Encik Hairi. Geli saya tau...” aku jegilkan mata. Terhambur lagi tawa Encik Hairi memenuhi ruang biliknya.
            “Okey...Okey...saya tulis semula laporan ni. Nanti saya bagi kat awak ye..”pujuk Encik Hairi. Aku tersenyum.
Encik Hairi memang seorang yang bertanggungjawab. Sama seperti Tuan Haji Firdaus. Mengenang Tuan Haji Firdaus, aku sedikit kecewa apabila dia diarahkan untuk kembali menjawat jawatan Pengawai Kebajikan Sosial di Jabatan Kebajikan Sosial di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Kuala Lumpur.
            “Tulis cantik-cantik tau..comel-comel sikit” aku mengenyitkan mata pada Encik Hairi dan keluar dari bilik. Aku hampiri Azani yang begitu tekun membaca majalah.
            “Ish..ish..ini rupanya kerja kau ye Az. Curi tulang!” usik aku. Azani mencebik.
            “Alah, sibuklah hang ni Qis. Hang tu buat apa kat bilik Encik Hairi?” soal Azani.
            “Mintak dia tulis balik laporan. Tulisan cakar ayam. Pening kepala aku nak membacanya. Macam manalah Jess boleh faham tulisan tu..” jawab aku.
            “Itulah kelebihan Jessy berbanding kita...” sahut Maisarah dari meja sebelah Azani. Aku menjungkitkan bahu. Memang ada benarnya. Kalau tidak, tidak mungkin Jessy tetap bertahan selama lima tahun menjadi ‘personal assistant tidak bertauliah’ Encik Hairi.
            “Encik Hairi tak ada bagi tahu apa-apa ke? Bila bos baru nak datang? Dah dekat 2 bulan bilik tu kosong..” soal Azani. Aku geleng kepala. Bilik Tuan Haji Firdaus masih belum dihuni. Entah sampai bila agaknya bilik itu akan kosong walaupun ada desas-desus mengatakan akan ada pengganti Tuan Haji Firdaus nanti. Bila agaknya?
            “Tunggu jela. Kalau kau nak duduk bilik tu pun tak pe..” sengaja aku mengusik Azani. Kami ketawa. Gurau senda yang tidak pernah pudar di ruangan pejabat ini yang hanya menempatkan seramai 15 orang kakitangan.
            “Siapalah aku ni nak duduk bilik Pegawai tu...”celah Azani. Dia memasamkan muka.
            “Ehh, apa salahnya. Nanti aku recommend kat Tuan Haji ye,”aku terus mengusik Azani. Azani menggeleng dan ketawa. Cepat benar emosi dia berubah.
            “Eleh, entah-entah Tuan Haji recommend hang ganti Tuan Haji Fiq,” sahut Maisarah.
            Aku pula yang pantas geleng-geleng kepala. Aku pengganti Tuan Haji Firdaus untuk menjawat jawatan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat? Ohh...tidak mungkin. Jawatan aku sebagai Pembantu Khidmat Masyarakat di Wisma Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Setar, Kedah ini baru menjangkau tempoh tidak sampai dua tahun. Aku masih ‘budak hingusan’ untuk menjawat jawatan yang hebat itu. Aku masih belum ada kelayakan lagi. Pengalaman aku pun masih ‘putik jagung’.
            “Awat pulak nak geleng-geleng? Ada kemungkinan kan? Hang dulu pun staf kesayangan Tuan Haji Fiq. Sekarang ni pun hang ambil alih tugas-tugas dia buat sementara waktu. Tak hairanlah kalau Tuan Haji naikkan pangkat hang, Qis,” Azani beria benar.
            “Az, hang ni jangan nak pikiaq lagu tu ya?” Aku sudah goyang-goyangkan jari telunjuk. Azani dan Maisarah sudah mengekek ketawa mendengar lorat Utara aku yang masih canggung di telinga. Biarlah, aku berada di Negeri Jelapang Padi ini pun sudah hampir enam tahun, campur sekali semasa aku menjadi pelajar di Universiti Utara Malaysia.
            “Pikiaq? Asah lagi lidah hang tu Qis!” usik Azani bersahaja.
            “Nanti aku pi habaq kat Tuan Haji hang nak duk dalam bilik tu,” giat aku.
“Hang saja nak mengada-ngada kan Qis?” Azani mencubit pipi aku. Aku menjerit kecil kerana sedikit sakit. Namun, ketawa aku berpadu dengan tawa Maisarah dan Azani. Dari pintu masuk, aku terpandang Sarina tergesa-gesa menghampiri kami. Aku kehairanan.
            “Qis, ada orang nak jumpa kat lobi. Sekarang!”

***

“ZARA...” suara itu memukul gegendang telinga aku.
Getaran suara itu bertaut dengan getaran jantung aku. Aku hanya menekur lantai. Aku hanya biarkan lelaki di hadapanku ini bersabar dengan sikap aku ini. Biarlah. Dari dahulu aku terlalu banyak bersabar dan terus bersabar dengan sikapnya. Kini, biar giliran dia pula supaya bersabar dengan diri aku ini.
            “Zara...” nama keramat itu menembusi khayalanku. Aku mengeluh perlahan. Kenapa insan di hadapan aku ini masih menagih perasaan aku? Aku mula keletihan.
            “Dah benci ke pada Am?” lelaki di hadapanku ini bersuara lagi. Nada yang sayu dan perlahan. Aku terus membisu tetapi aku memberanikan diri untuk memandangnya.
Am...Ahmad Ikhram Bin Abdul Hamid.
Ya, dihadapanku inilah Ikhram. Sewaktu masa dulu, Ahmad Ikhram dan Nia Qiszara benar-benar bahagia dan saling menyayangi. Elemen cinta, sayang, rindu dan kasih berpadu dengan kukuh dan mampat. Aku menyayangi lelaki ini sepenuh hatiku. Lelaki ini juga yang pernah kusandarkan impian dan harapan. Tetapi, lelaki ini juga yang telah mengkhianatiku, menghancurkan kesetiaanku dan meleburkan kepercayaanku pada seorang lelaki.
            “Nak apa?” aku bertanya tegas. Aku pandang tepat wajahnya.
            “Zara tak bagi Am peluang lagi? Zara tak pernah maafkan Am...sehingga kini...” Ikhram meluahkan juga. Aku kalih pandangan. Tidak sanggup aku memandangnya lama-lama. Aku merasai kekecewaan sekarang.
            “Zara benci Am?” Ikhram masih menyoal lagi. Aku seakan lemas dengan soalan ini.
            “Tidak ada jawapan!” ucap aku bersahaja tetapi tegas.
Jelas kedengaran Ikhram mengeluh. Dia bersandar di kerusi. Biarlah Ikhram putus asa dengan diriku kerana perasaan aku saat ini sudah putus asa yang amat sangat untuk bersama dirinya seperti dahulu. Pengkhianatan Ikhram meremukkan jiwa aku.
“Tapi kenapa Zara?”
            “Soalan-soalan tu biarlah Encik Ikhram yang jawab sendiri. Saya pasti Encik Ikhram ada jawapannya. Jawapan tetap sama...mulai saat ini dan selamanya..” tegas aku menyuarakan pendirian. Panggilan Encik Ikhram yang aku sebut untuk dirinya sudah pasti menyentakkan Ikhram kerana wajahnya terus berubah tegang. Berat mulut aku untuk memanggilnya ‘Am’ seperti ‘dulu-dulu’.
            “Zara marahkan Am?” Soalan ini masih diajukan lagi. Aku mula bosan.
            That’s enough for such questions...” sambungku meletakkan noktah.
            “Tapi Am nak tahu!” Ikhram seakan mendesak aku.
            “Tanya diri-sendiri.” Ini penamat perbualan.
Aku bingkas bangun. Aku perlukan kekuatan menghadapi situasi ini. Renungan Ikhram sebenarnya menggoyahkan perasaan aku. Aku perlu tenang walau hakikat sebenarnya aku merintih dalam hati. Aku perlu lebih tenang supaya aku tetap teguh dengan pendirian ini. Ketenangan aku ini semoga dapat membendung segala perasaan aku yang kacau bilau.
            “Maafkan Am...Zara....” tutur Ikhram semakin meruntuhkan perasaan aku. Aku masih berdiri tercegat tidak melangkah mendengar suara Ikhram yang amat sayu itu.
            Maaf adalah satu perkataan yang terlalu mudah dituturkan tetapi sukar dilaksanakan!
Aku tarik nafas dan aku melangkah. Aku menetapkan langkah. Aku tinggalkan Ikhram dengan sebak yang menyesak di dada. Kemunculan Ikhram hari ini mengundang derita dalam hati. Aku mahu Ikhram membenci diriku seperti aku belajar untuk membenci dia. Aku sedaya upaya menjauhkan diri dari Ikhram. Aku jarakkan diri dari memori pahit itu dengan harapan aku akan hidup dengan kebahagiaan aku sendiri..tanpa Ikhram lagi.
Di dalam lif, aku bersandar di dinding lif, melepaskan keluahan demi keluhan. Jiwa aku sakit kembali. Sakit dan luka lama seakan bernanah semula. Aku sedaya-upaya menahan sebak dari pecah dari empangan mata ini. Aku tidak akan menangis. Tidak lagi akan meratapi seorang lelaki yang bernama Ahmad Ikhram. Ini janji aku dahulu tetapi mata ini seakan pedih menahan air mata. Aku akan tewas. Aku masih lemah. Aku masih seorang wanita.
            Keluar dari lif, aku menonong menuju ke bilik. Aku sedar Azani sempat memanggil namaku. Tidak aku endahkan. Biarkan Azani marah padaku. Aku tidak mahu air mata yang cuba kubendung bertaburan di hadapan Azani atau rakan sekerjaku yang lain. Aku gagal lagi menyekat kesedihanku. Aku masih terbayang wajah dan renungan sayu Ikhram. Di dalam bilik, aku kunci pintu, aku tidak mahu diganggu sesiapa.
            Berada di dalam bilik, dengan perlahan aku hampiri tingkap. Cahaya matahari pukul 3.15 petang masih terik. Aku singkap tirai dan memandang keluar. Aku lihat deretan kereta tersusun di dataran Wisma Kasih, nama lain bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat di Negeri Kedah ini. Dalam aku mengelamun itu, aku terpandang sesusuk tubuh berjalan perlahan. Aku kenal siapa. Ikhram baru meninggalkan ruang lobi.
Mata aku terus memerhati dari jauh. Masih ada sisa kasih sayang aku pada lelaki itu. Aku yang tetapkan ego. Aku masih merindui dirinya. Aku dambakan kasihnya untuk diriku. Aku rindu senyuman, tawa dan gurauan Ikhram. Hampir enam tahun aku merasai perasaan disayangi itu. Bagaimana aku mahu melupakannya dalam sekelip mata? Aku mula menangis. Tidak dapat dibendung lagi. Inilah air mata yang aku sedaya-upaya tahan semasa berhadapan dengan Ikhram tadi.
            ‘Nia Qiszara..tabahkan hatimu...Ikhram harus dilupakan mulai saat ini. Lupakan semua kenangan bersama lelaki ini..tabahkan hatimu Zara.’ Inilah janji hatiku. Aku perlu terus menetapkan pendirian untuk tidak berpaling lagi pada Ikhram.
  
BAB 2

“DIA nak apa Qis?” soal Samiah begitu serius memandang aku.
Aku hanya biarkan soalan Samiah tidak dijawab. Aku masih terbayang pertemuan aku dengan Ikhram tadi di Wisma Kasih. Renungan mata, nada suara yang mendatar dan juga raut wajah lelaki itu masih berlegar-legar di ruangan mata aku sehingga saat ini. Samiah seakan tidak sabar. Tangan aku digerak-gerakkan. Teman serumahku ini memang bukan seorang yang penyabar.
            “Dia nak aku la...” jawab aku bersahaja. Aku mengenyitkan mata. Samiah mencubit lengan aku dengan kuat sehingga aku menjerit kesakitan.
            “Hah, padan muka. Orang tanya serius, dia main-main je...” Samiah memuncungkan mulut. Aku mengosok-gosok lengan yang dicubit Samiah. Masih terasa sakitnya.
            “Dia minta maaf lagi...masih merayu macam dulu-dulu..masih mengharapkan aku menerima dirinya...” luah aku. Samiah terdiam.
            “Aku keliru la Sam..aku lemah bila tengok muka dia...dia tak pernah give up untuk dapatkan kemaafan aku..” sambung aku. Samiah mengeluh.
Keseluruhan kisah tragis aku bersama Ikhram turut diketahui oleh Samiah. Padanya aku meluahkan kekecewaan aku dan Samiah juga menjadi ikon ketabahan aku menghadapi keadaan menyeksakan ini. Di perantauan ini hanya Samiah menjadi tempat aku meluahkan perasaan dan mengadu kasih. Bahu Samiah yang sering menjadi tempat untuk aku melepaskan tangisan dan kesedihan di hati ini. Ya Allah, sesungguhnya aku amat bertuah bertemu dengan Samiah di Negeri Kedah ini.
            “Ingat lagi janji kau dulu Qis?” soal Samiah amat ringkas mematikan fikiran aku yang melayang-layang seketika.
            “Ingat lagi Sam..aku tetap berpegang pada janjiku...” jawab aku tegas.
Samiah menggangguk perlahan. Aku pernah berjanji di hadapan Samiah, aku akan melupakan Ikhram walau apa pun yang berlaku. Aku tidak boleh berpaling ke belakang lagi. Ahmad Ikhram sudah aku simpan kemas-kemas di dalam lipatan sejarah hidupku. Sejarah yang tidak mungkin aku akan buka semula kerana cukuplah kesakitan yang Ikhram berikan pada diriku. Tiada Ahmad Ikhram di dalam kehidupan Nia Qiszara.
            “Dia lelaki yang tidak boleh dipercayai. Seorang lelaki yang mudah melupakan kasih sayang yang ikhlas. Kita ni bukan sebiji bola yang boleh dicampak ke mana-mana” nasihat Samiah penuh makna. Aku anggukkan kepala. Samiah amat memahami diriku, memahami masalah dan kemelut yang aku sedang hadapi.
            “Lupakan jela Sam. Kita bincang pasal makanan lagi best. Aku teringin nak makan chicken chop la. Jom pergi makan kat Joned okey tak?” aku menukar topik perbualan. Aku tidak mahu nama Ikhram disebut-sebut lagi. Nama itu seakan pisau yang akan menghiris-hiris hati dan jiwa aku.
            “Joned? Ermm...boleh juga. Sekarang ke? Aku tak mandi lagi” Samiah bersuara.
            “Lepas Maghrib nanti la..aku pun nak rest kejap,” aku memberi cadangan.
            “Cantik..lepas Maghrib ye..food on me...”ujar Samiah bersahaja. Aku pantas menggeleng kepala. Kali ini aku mahu belanja Samiah makan.
            “Jangan nak mengada-ngada. Food on me...not you!”bangkang aku.
            “Iyelah...gaji kau lagi banyak dari aku....orang kaya katakan...” Samiah mengusik aku. Aku geletek pinggang Samiah. Ketawa Samiah dan aku bertalu-talu. Gamat suasananya. Aku dan Samiah gandingan teman serumah yang ideal. Tidak pernah wujud persengketaan antara kami. Amat bertuah aku dapat menemui Samiah di bumi perantauan ini.
            Aku masih ingat lagi betapa sukarnya untuk aku menemui rumah sewa yang sesuai. Sudah dua kali aku bertukar rumah sewa kerana masalah tuan rumah dan juga jarak ke tempat kerja yang jauh. Namun, Alhamdulillah, aku menemui Samiah yang aku kenali di Perpustakaan Awam Alor Setar. Aku adalah pengunjung setia perpustakaan dan seterusnya mengenali Samiah yang berkerja sebagai Pustakawan.
Tempoh perkenalan yang singkat tetapi merapatkan kami. Samiah terus mempelawa aku tinggal bersamanya kerana dia juga sedang mencari teman serumah. Rumah sewa yang diduduki Samiah pula hanya 20 minit perjalanan ke pejabat aku. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku terus terima pelawaan Samiah. Mungkin sudah rezeki aku dan Samiah untuk tinggal bersama.
            “Lepas makan kat Joned, aku nak pi Secret Recipe...aku nak makan Chocolate Indulgence. Dah lama tak makan..” ujar Samiah mematikan lamunan aku. Aku hanya anggukan kepala. Asal saja makanan aku akan menjadi teruja tiba-tiba.
            Chocolate Indulgence kek kegemaran aku di Secret Recipe sudah berlegar-legar di ruang kepala. Alahai, terliur dibuatnya.
            “Okey je. Nak melancong pi Langkawi pun boleh. Nak tak?” sengaja aku mengusik Samiah. Aku ketawa mengekek.
Samiah menjegilkan mata dengan gurauan aku. Belum sempat Samiah berbuat sesuatu apa-apa ke atasku, cepat-cepat aku masuk ke bilik. Aku hanya ketawa kuat kerana dapat melarikan diri dari cubitan Samiah. Samiah pula melaung-laung dari ruang tamu.
            Di dalam bilik, aku duduk di birai katil. Melepaskan keluhan kasar dan seakan masih ada nafas yang tersekat di dada ini. Semuanya kerana Ikhram. Aku sedar keegoaan aku yang menyelubungi diri ini. Ego aku yang menidakkan perasaan aku yang masih ada tunas untuk menerima Ikhram. Menerima Ikhram? Aku gugup dan khuatir dengan persoalan ini. Menerima Ikhram memberi maksud membenarkan semula perasaan dan hati aku ini dimiliki oleh lelaki itu. Benarkah aku akan menerimanya semula?
            Aku menekup muka dan menangis tersedu-sedu. Sampai bila aku akan begini? Menangisi lelaki yang telah mengkhianati diri aku dan meninggalkan aku terkapai-kapai menyayangi dirinya sehingga kini. Ikhram jahat. Ikhram penipu. Ikhram pendusta. Nia Qiszara, bangkit sekarang. Jangan menangis lagi. Lupakan Ikhram walaupun sejuta kali lelaki itu memohon ucapan maaf padamu. Cukuplah air mata ini mengalir Nia Qiszara.

***

Aku masih sabar menunggu bas yang tidak kunjung tiba. Rozana di sebelah seperti cacing kepanasan. Sekejap-sekejap teman baik merangkap teman sekuliah itu sudah merungut-rungut. Mulut becok Rozana tidak habis-habis mengutuk kelewatan bas yang diharap dapat cepat sampai. Pelajar-pelajar Kolej Kediaman Bukit Kachi 2 yang lain juga sudah bosan menunggu bas yang sama. Kuliah yang akan bermula pukul 4.30 petang semakin merisaukan aku. Mana bas? Mana? Aku menghentak kaki.
            “Gi mana bas ni? Ishh...panas!” Rozana merungut kembali.
            “Sabar, sat lagi tu,” aku memujuk. Rozana semakin memuncung mulutnya.
            “Tunggu hok gini...sampai bila?” rungut Rozana dengan lograt Terengganunya. Aku segera menarik tangan Rozana dan gadis itu duduk di sebelah aku. Wajahnya yang cemberut itu mengundang tawa kecil aku. Aku terus paut bahu Rozana.
            “Zana...senyum sikit eh? Sat lagi ada bas tu.” Aku usik pipi mulus Rozana. Akhirnya anak jati kelahiran Negeri Penyu Bertelur itu mengukir senyuman.
            “Alah Qis, penat tunggu. Jenuh ni. Ehh...call Ikhram boleh dok? Suruh dia hantar pi DKG 2/1. Boleh tak Qis?” Rozana mengenyitkan mata pada aku. Aku menggeleng.
            “Am tak ada la Zana. Dia balik kampung,” jawab aku dan mengundang keluhan dari Rozana. Lelaki yang amat aku sayangi itu awal-awal pagi sudah pulang ke kampung. Pagi tadi usai Subuh, Ikhram menghubungi aku dan memberitahu dia akan tidur di rumah emaknya di Tunjang, Jitra.
            “Ermm...pulak dah...tak ada rezeki...” Rozana bersandar pada kerusi.
            “Zana..tengok tu. Gedik aje kan? Sokmo nak gi kelas selalu gitu. Nak menunjuk-nunjuk kat sapa?” aku menjuihkan mulut pada dua orang pelajar perempuan yang baru terhegeh-hegeh keluar dari Kafetaria Sri Kachi. Gelak tawa keduanya menarik perhatian kami dan juga pelajar-pelajar lain yang masih menunggu bas.
            “Huhh..itu memang geng gedik!” sambung Rozana sambil mencebik.
            “Agak-agak kita ni gedik tak?” aku merenung pada Rozana.
            “Errr....gedik sikit-sikit...” Rozana mengenyitkan mata dan ketawa kami berpadu.
            Aku dan Rozana bukan sekadar teman sekuliah yang biasa-biasa. Kami adalah teman yang paling akrab dan sejati. Susah senang aku adalah bersama Rozana. Di bahu Rozana sering menjadi tempat untuk aku meluahkan perasaan. Pada Rozana juga yang menjadi teman yang pertama tahu aku amat menyintai dan menyayangi Ikhram sepenuh hati aku. Berbeza lograt bahasa tidak menghalang kami untuk mengikat perhubungan persahabatan yang paling kukuh. Ketawa aku adalah ketawa Rozana. Sedih Rozana adalah sedih aku juga.
            Akhirnya sebuah bas tiba di perkarangan tempat menunggu bas di Kolej Bukit Kachi ini. Menderu pelajar-pelajar menghampiri bas walaupun pelajar yang berpusu-pusu turun dari bas belum habis. Dapat memasuki perut bas, aku segera duduk di tempat duduk di tepi tingkap. Inilah port kegemaran aku yang tidak akan dipertikaikan oleh Rozana atau sesiapa sahaja. Bas masih belum bergerak lagi. Kebiasaannya, bas akan menunggu selama 15 minit sebelum memulakan perjalanan. Melihat jam di tangan, aku lega sedikit. Aku dan Rozana akan tiba di DKG 2/1 lebih awal dari yang dijangkakan.
            Aku asyik memandang keluar tingkap sementara Rozana asyik membalas SMS entah dari siapa. Memerhati Blok H, aku terpandang dua orang pelajar perempuan yang aku gelar gedik tadi masih santai-santai di bangku. Tidak pula dia dan temannya itu ikut sama menaiki bas ini. Melihat gayanya, dengan fail dan beg yang dipegang, dia juga mahu ke kuliah. Ermm..mungkin menunggu teman. Ini andaian aku. Namun gadis itu masih menjadi tarikan mata aku untuk ‘menjelajah’ dirinya dari cermin bas. Kebaya labuh yang dipakainya agak seksi dan ikut potongan badannya yang sedikit berisi itu. Berani berfesyen, tiada siapa yang akan menghalang.
            Aku mahu mengalih pandangan tetapi tidak jadi. Itu...itu...aku seakan kelu lidah. Bulat mata aku memandang kereta yang berhenti di hadapan Blok H, Kolej Bukit Kachi. Aku masih ternganga. Melopong menyaksikan adegan itu. Lelaki itu yang memakai cap dan cermin mata hitam keluar dari kereta. Senyuman merkah di wajahnya dan bersambut dengan lambaian dan senyuman manja gadis berkebaya labuh seksi tadi. Lelaki itu mencubit manja pipi si gadis dan tanpa segan silu, si gadis memaut lengannya. Entah apa yang dituturkan, gadis itu ketawa. Aku mengigit bibir. Menahan rasa yang bersimpang-siur. Air mata sudah mengalir perlahan. Walaupun pedih dan sakit hati, mata ini masih memandang pasangan itu. Bahagianya...
            “Qis...Tasha nak...” Rozana berhenti bersuara. Terkejut agaknya melihat linangan air mata aku yang bertukar deras. Esaknya tiada.
            “Qis...” Rozana memanggil lagi dan bangun sedikit untuk melihat apa yang menarik perhatian aku. Rozana melihat dan aku dengar titipan istighfar perlahan dari mulutnya. Rozana duduk semula. Dia membisu. Bas sudah bergerak perlahan meninggalkan perkarangan depan pejabat Kolej Bukit Kachi 2.
            “Qis...sabar...” Rozana memaut lengan aku. Aku masih diam. Air mata ini semakin tidak dapat aku bendung lagi. Esaknya saja aku sedaya-upaya menahannya. Sampai hati. Jahatnya dia. Kejamnya Ikhram!
            Itulah bukti yang nyata dan sahih Ikhram paparkan untuk aku. Entah kenapa peristiwa setahun yang lepas ini seakan masih segar diingatan aku. Aku masih ingat wajah gadis itu. Aku masih ingat betapa kasih dan sayangnya Ikhram pada gadis itu. Dasar lelaki curang. Ikhram bijak membahagikan kasih sayangnya untuk aku dan si gadis. Aku terbuai-buai dengan titipan rindu Ikhram setiap masa sehingga aku lupa titipan itu turut diberi pada orang lain. Ikhram seorang pendusta. Janjinya hanya sekadar janji. Hanya aku gadis yang polos menyintai dirinya sepenuh hati dengan harapan inilah cinta pertama dan terakhir aku. Namun, takdir Allah SWT tiada siapa yang mengetahui. Cinta aku sia-sia untuk seorang lelaki yang bernama Ahmad Ikhram. Aku noktahkan percintaan ini sepenuhnya.
            Cinta yang dikhianati memberi satu luka yang amat mendalam. Ikhram adalah harapan aku untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Dia juga suami impian aku. Betapa aku menyandarkan harapan dan impian bukan sekadar mainan. Aku masih ingat janji Ikhram bahawa dia akan menjadikan aku suri di hatinya. Kami akan melayari bahtera kehidupan bersama-sama dengan zuriat kami. Ahh...besar sungguh impian Mat Jenin Ikhram. Aku yang sebelum ini lurus dan setia, begitu berbunga-bunga dengan impian itu. Semuanya Ikhram. Segala-galanya Ikhram. Indahnya saat-saat itu. Tetapi, mendung menutupi mentari. Ikhram hanya pandai melafazkan tetapi bukan menunaikan janji.
            Adakah akan ada seseorang yang akan menyintai dan menyayangi aku? Adakah akan ada insan yang akan berada disisi diri ini? Siapakah lelaki yang hadir dalam hati ini dan sama-sama menyulam kasih? Ya Allah Ya Tuhanku, pertemukanlah diriku dengan seseorang yang jujur menerima diri ini dan tulus menyintai serta menyayangiku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan