Isnin, 10 Disember 2012

NOVEL : HANYA KAU KEKASIHKU 55,56,57

BAB 55

LELAKI itu menepuk meja aku agak kuat. Aku terkejut dan jantung aku berdegup kencang. Aku sudah menggeletar ketakutan dan seram aku melihat renungan tajam lelaki di hadapan aku ini. Dia masih mengenggam buku limanya agak kejap. Terketar-ketar aku memegang pen. Ya Allah, bantulah aku menempuhi dugaan ini.
            “Encik Tarmizi...Encik kena bertenang...” tergagap-gagap aku bersuara.
            “Nak bertenang macam mana lagi cik? Saya ni dah mohon lama. Saya tunggu sampai sekarang pun belum dapat keputusan!” tengking Encik Tarmizi.
            Aku menelan air liur. Encik Tarmizi adalah klien Encik Hairi. Lelaki berusia hampir 50 tahun ini telah membuat permohonan mendapatkan alat bantuan pendengaran bagi anak lelakinya yang mengalami masalah pekak yang serius. Bulan lepas Encik Tarmizi telah mengemukakan permohonan dan Encik Hairi menjalankan siasatan yang teliti sebelum permohonan itu diluluskan.
            Namun, permohonan Encik Tarmizi tidak dapat diluluskan kerana pendapatan Encik Tarmizi yang berkerja sebagai pengurus di sebuah syarikat perkapalan melebihi RM4,000 sebulan. Isteri Encik Tarmizi pula adalah guru di sebuah sekolah menengah di Alor Setar. Jika pasangan suami isteri itu dihitung keseluruhan pendapatan mereka telah melebihi garis kelompok pendapatan rendah. Encik Tarmizi mampu membeli alat bantu pendengaran untuk anaknya tanpa bergantung harap pada Wisma Kasih. Wisma Kasih hanya menyalurkan bantuan yang bersesuaian pada golongan miskin dan berpendapatan rendah sahaja bukan golongan yang mewah seperti keluarga Encik Tarmizi.
            “Encik Hairi yang menerima permohonan Encik Tarmizi. Namun kerana beliau menghadiri seminar di Kuala Lumpur sepanjang minggu ini, saya yang ambil alih tugasnya buat sementara waktu. Sebenarnya permohonan Encik Tarmizi tidak dapat diluluskan!” jawab aku dengan keberanian yang tinggal sisa.
            “Mana boleh!” Sekali lagi Encik Tarmizi menghentam permukaan meja aku yang tidak bersalah. Jika meja aku boleh bersuara, mahu menjerit sekuat hati agaknya.
            “Ini kerana...”
            “Saya tak boleh terima!” Encik Tarmizi bingkas bangun dan kerusi sudah tertolak kebelakang. Encik Tarmizi sudah berdiri tegak dan matanya tajam merenung aku. Aku sudah ketakutan yang bertambah berlipat kali ganda.
            “Encik dengar dulu...apa yang saya...nak cakap...nak jelaskan...” tutur aku tersangkut-sangkut. Encik Tarmizi sudah mencekak pinggang.
            “Apa alasan itu? Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat ni nak bantu golongan OKU. Tapi permohonan saya ditolak. Apa hal?” tempik Encik Tarmizi seakan hilang akal.
            Aku bingkas bangun. Sama-sama mengadap Encik Tarmizi yang sedang marah. Otak aku ligat mencari ayat yang boleh menenangkan kemarahan lelaki ini. Hubungi Abang Jazman? Aku akan berusaha menghadapi situasi tegang ini. Aku amat yakin mampu menghadapi Encik Tarmizi.
            “Kami dapati pendapatan Encik dan isteri Encik tinggi. Bantuan hanya untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah...” jelas aku.
            “Saya cuma pekerja biasa di syarikat tu. Gaji saya sikit,” Encik Tarmizi mencebik.
            Aku mengerutkan dahi. Alahai, mahu menipu agaknya. Mungkin Encik Tarmizi tidak mengetahui bahawa kami di Wisma Kasih akan menyiasat dengan teliti dari semua sudut termasuk apakah perkerjaan pemohon, jumlah pendapatan, bilangan tanggungan dan juga segala harta milik bersama. Kami tidak akan semewang-mewang meluluskan setiap permohonan tanpa penyiasatan yang teliti.
            “Encik mahu menipu kami?” soal aku bersikap tenang walaupun kemarahan aku sama tahap dengan kemarahan lelaki di hadapan aku ini.
            “Betullah!” tegas Encik Tarmizi.
            “Kami sudah menjalankan siasatan sebelum permohonan diluluskan atau tidak. Encik Tarmizi adalah pengurus, isteri Encik seorang guru. Jumlah pendapatan Encik dan isteri hampir mencecah RM10 ribu. Jadi, dengan pendapatan sebegini tinggi, kami terpaksa tolak permohonan Encik. Encik mampu membeli alat bantu pendengaran untuk anak Encik tanpa perlu bantuan Wisma Kasih!” ujar aku tegas. Encik Tarmizi terbeliak matanya.
            “Apa lagi alasan Encik Tarmizi?” soal aku sinis. Aku memeluk tubuh dan dengan berani aku memandang tepat wajah Encik Tarmizi yang sudah sedikit menggelabah kerana helahnya tidak berjaya.
            “Itu dah ceroboh hak peribadi saya!” Encik Tarmizi masih dengan sikap egonya.
            Aku tersenyum sinis. “Itu bukan menceroboh. Saya dan pegawai-pegawai di Wisma Kasih punyai hak untuk menjalankan siasatan ke atas hal-hal peribadi sesiapa yang mengemukakan permohonan di sini. Kalau Encik Tarmizi mahu membuat aduan pada pihak berkuasa pun saya tak takut. Saya di pihak yang benar,” jelas aku lagi.
            “Saya masih tak puas hati!” bentak Encik Tarmizi menyentakkan aku. Meja aku ditumbuk kuat. Aku berundur ke belakang sedikit.
            “Cik saja nak cabar kesabaran saya kan?” sambung Encik Tarmizi mencerlung aku.
            “Saya tak ada masa nak cabar-cabar Encik Tarmizi,” balas aku.
            “Saya tak puas hati!” ulang Encik Tarmizi dengan lantang.
Aku terbungkam. Saat itu pintu bilik terbuka, muncul Abang Jazman dengan wajah yang gusar. Pasti kuat dan lantang suara Encik Tarmizi sehingga kedengaran dari luar bilik. Aku lihat juga Azani dan Jessy terjenguk-jenguk. Melihat Abang Jazman aku sedikit lega.
            “Apa yang berlaku?” soal Abang Jazman tegas. Encik Tarmizi sudah memusingkan tubuh berhadapan dengan Abang Jazman pula. Aku melangkah berhati-hati dari tepi meja dengan satu tujuan untuk mendekati Abang Jazman dan keluar dari bilik.
            “Saya tak puas hati kerana permohonan saya ditolak dan cik ni bagi saya macam-macam alasan!” tempik Encik Tarmizi meluru ke arah aku dan dia menolak tubuh aku dengan dengan kuat ke dinding.
Tubuh aku seakan melayang dan melanggar dinding. Kepala aku terhantuk kuat dan aku terjelepuk ke lantai. Aku mendengar jeritan Azani dan pekikan Jessy. Kepala aku sudah berpinar dan sakit yang amat sangat. Aku terasa tubuh aku dipaut seseorang dan aku mendengar suara Abang Jazman yang kuat memanggil nama aku. Aku tidak mampu bertindak balas dan pandangan mata aku gelap-gelita.

***

AKU membuka mata dengan perlahan. Semerta kesakitan di kepala amat memeritkan. Aku mengaduh kesakitan dan memejamkan mata. Berbalam-balas pandangan mata aku apabila aku membuka mata untuk kali kedua. Aku pandang sekeliling. Dinding putih dan tirai berwarna hijau lembut. Dimana aku sekarang ini? Aku tarik selimut yang melitupi tubuh dan terpandang pakaian warna merah jambu yang tersarung. Aku tercengang. Aku di hospital!
            Dengan kepala yang masih sakit, aku cuba untuk duduk. Pantas aku capai tudung yang tersangkut di kerusi. Aku seterusnya terpandang seutas jam tangan dan telefon mudah alih yang terletak di atas meja tepi katil. Aku tahu barang-barang itu milik Abang Jazman. Dia di sinikah? Ke mana pula dia menghilang? Seketika aku baru tersedar yang sudah pasti Abang Jazman melihat aku dengan mahkota di kepala yang tidak terlindung. Aku beristighfar berkali-kali.
            Pintu bilik terbuka dan muncul Abang Jazman. Melihat aku yang sudah duduk, dia agak terkejut. Namun, wajahnya terus mengukir senyuman. Semakin menghampiri aku di katil, Abang Jazman melipat lengan baju kemejanya. Aku tiba-tiba teringat pada tragedi yang membuatkan aku berada di hospital ini. Aku pasti berada di Hospital Sultanah Bahiyah apabila terpandang hujung katil dengan lakaran perkataan HSB. Abang Jazman duduk di kerusi dan dia masih memandang aku.
            “Hai,” sapa Abang Jazman lembut.
            “Hai,” jawab aku. Aku betulkan tudung hitam yang sudah tersarung di kepala.
            I’m so worried...really afraid...” tutur Abang Jazman perlahan.
            “Abang...Zara tak apa-apa la,” balas aku sambil mencuit bahunya. Abang Jazman yang menunduk tadi mengangkat kepala. Wajahnya amat gusar. Jika lelaki ini sudah menjadi suamiku, pasti akan aku dakap erat menyakinkan dirinya bahawa aku tiada apa-apa yang perlu dirunsingkan lagi walaupun sakit kepala masih terasa sedikit.
            “Kepala sakit lagi tak? Tadi doktor kata Zara tak alami apa-apa kecederaan yang serius. Tapi abang tetap risau,” luahnya dengan wajah yang muram.
            “Abang...please looked at me...looked me...I’m still talking with you.” Aku mengiringkan tubuh mengadap Abang Jazman. Aku menahan denyutan di kepala apabila aku menggerakkan tubuh ini. Dahi aku berkerut menahan sakit.
            “Zara masih sakit kan? Abang panggil doktor,” Abang Jazman bingkas bangun tetapi aku sempat raih tangannya. Abang Jazman terhenti dan memandang aku.
            “Sakit sikit je. Abang tak payahlah panggil doktor.” Aku halang dirinya pergi.
            “Tapi...” Abang Jazman terdiam apabila aku menggeleng kepala.
            I need you right now. Temankan Zara ye?” pinta aku lembut. Abang Jazman akur dan duduk di birai katil, disisi aku yang masih bersandar. Dahulu semasa Abang Jazman terlantar di hospital kerana kemalangan, aku duduk disisinya juga. Seakan perbuatan aku dahulu diulang oleh Abang Jazman.
            “Apa jadi pada Encik Tarmizi? Zara dah pengsan kan bila kepala ni terhantuk kuat pada dinding. Berapa lama Zara pengsan?” soal aku ingin tahu.
            “Abang hampir belasah lelaki yang kurang ajar tu tapi nasib baik Azani dan Jessy halang. Kalau tak dah lama herot hidung dia abang kerjakan. Panas baran tak bertempat. Dia kena tahan polis. Zara pengsan dekat lima jam. Mula-mula abang tak fikir nak bawak Zara ke hospital tapi bila Zara tak sedar juga selepas dua jam, abang risau sangat,” jelas Abang Jazman. Aku melepaskan keluhan.
            “Zara pengsan hampir lima jam...bagai nak putus nyawa abang tadi...”sambungnya.
            Lima jam aku tidak bernyawa seketika. Ya Allah, syukur ke hadratMU aku masih diberi peluang untuk bernafas lagi.
            “Kenapa perlu report sampai pihak polis?” soal aku.
            “Biar dia rasa sikit!” Abang Jazman mendengus.
            “Kalau abang belasah dia...abang pun duk dalam lokap agaknya. Janganlah ikut panas baran macam Encik Tarmizi tu,” ujar aku perlahan.
            “Mana abang tak marah bila dia nak lepaskan marah tak tentu pasal pada Zara. Lagi-lagi bila abang tengok Zara yang pengsan. Menggelegak darah abang!”
            Aku senyum. Abang Jazman berkerut-kerut dahi menceritakan semuanya dari cerita Azani dan Jessy yang sudah menangis melalak-lalak melihat aku yang sudah pengsan. Cerita Abang Jazman lagi, pagi tadi kecoh Wisma Kasih dibuatnya dan Encik Tarmizi pula katanya menangis kerana menyesali tindakan luar kawalan fikirannya. Aku sekarang ini tidak menyalahkan Encik Tarmizi kerana pada pandangan aku, ada kalanya kemarahan membuatkan kita akan bertindak tanpa sedar. Semoga Encik Tarmizi sedar dengan kesilapannya itu dan tidak mengulanginya di masa hadapan.
            Aku menjadi pendengar setia pada cerita Abang Jazman. Aku hanya renung wajahnya yang nampak sedikit keletihan. Mata aku meneliti ulas bibirnya yang merah tanda tidak tercemar dengan sentuhan nikotin. Anak matanya yang redup dan alis mata yang sedikit lebat semakin melengkapkan wajahnya yang memang kacak. Ditambah pula dengan sedikit janggut di dagunya dan aku gemar dengan sideburn yang dirapikan sehingga separas telinga. Aduhai, lelaki bernama Adham Jazman ini memang kacak dan aku seakan tidak percaya lelaki ini juga adalah bakal suami aku. Hanya dengan senyuman manis miliknya semasa pertama kali bertemu, hati aku tercuit dan jatuh hati. Jemari aku masih digenggam erat dan seakan tidak mahu dilepaskan.
            “Dah puas ke siasat muka abang ni?” soal Abang Jazman dan aku tersipu-sipu malu.
            “Zara dengar abang cerita...” jawab aku perlahan.
            “Abang memang handsome kan? Mesti Zara baru perasan. Betul tak sayang?”
            “Eleh, perasan lagi...” aku mencebik. Abang Jazman ketawa kecil.
            “Zara kena tahan di wad. Doktor kata esok baru Zara boleh keluar. Abang ada hubungi Samiah. Malam ni Samiah akan temankan Zara.” Abang Jazman merenung aku. Aku mengeluh lagi. Terseksa rasa hati mendengar aku akan menjadi penghuni Hospital Sultanah Bahiyah walaupun untuk semalam sahaja.
            “Zara tak suka duduk sini,” Aku bersuara perlahan.
            “Sabar ajelah. Insyaallah esok Zara boleh keluar dari sini,” pujuknya.
            Aku memejamkan mata menahan perit di kepala apabila aku cuba menggerakkan kedudukan bantal. Sakitnya hanya Allah SWT saja yang tahu. Terlalu kuat hentakan kepala aku di dinding. Retakkah?
            “Sakit lagi?” tanya Abang Jazman berbaur risau. Wajahnya berkerut.
            “Sikit. Kepala Zara ni retak ke?”
            Abang Jazman menggeleng kepala. “Ehh..mana ada retak cuma doktor bagi tahu abang tadi yang hentakkan kuat tu buat kepala tu lebam. Itu agaknya Zara rasa sakit lagi.”
            “Ermm...okeylah tu.” Aku cuba senyum padanya. Sedikit lega.
            “Abang...senyumlah sikit. Abang ni berkerut-kerut dahi aje,” usik aku.
            “Macam mana abang nak senyum? Abang risau ni...” Abang Jazman menggenggam erat jemari aku. Aku balas sentuhan itu. Kasihan Abang Jazman.

 BAB 56

MELANGKAH keluar dari perkarangan Hospital Sultanah Bahiyah, aku menghirup udara seakan begitu lama aku terkurung di dalam hospital ini. Hanya satu malam di hospital seakan aku sudah lama tidak memandang pepohon dan kenderaan. Tenangnya jiwa aku dapat melepaskan diri dari kawalan para jururawat di hospital. Malahan, hidung aku sudah tidak selesa dengan suasana hospital dan juga bau-bauan ubatan yang melemaskan. Sebab ini juga agaknya aku tidak berjaya menjadi doktor atau pun jururawat. Aku mula tersenyum sendirian memikirkannya.
Kereta yang dipandu Samiah perlahan melewati jalan raya Langgar. Aku hanya bersandar dan merenung teman serumah aku ini. Aku amat berterima kasih pada Samiah hari ini kerana dia terpaksa mengambil cuti separuh hari semata-mata mahu menjemput aku keluar dari hospital. Abang Jazman pula amat terkilan kerana terpaksa menghadiri mesyuarat penting di Kulim bersama Tuan Haji Iqbal dan Puan Maria. Berkali-kali Abang Jazman memohon maaf walaupun aku tahu tugasnya itu amat penting dan aku tidak marah padanya.
            “Hang nak singgah mana-mana tak Qis?” soal Samiah.
            “Tak nak lah. Aku nak cepat sampai rumah. Dah rindu kat katil aku,” jawab aku.
            “Alah, satu malam menginap kat hospital pun dah rindu kat katil? Nanti temankan abang tidur, nak rindu lagi ke kat katil hang tu?” Samiah ketawa kecil. Aku hanya senyum.
            “Eh, pandailah hang nak perli aku,” aku tepuk bahu Samiah dan saat itu kedengaran bunyi deringan telefon mudah alih dari dalam beg tangan. Samiah mengenyitkan mata dan seakan dia tahu Abang Jazman yang menghubungi aku sekarang ini.
            “Assalammualaikum. Zara kat mana?”
            “Waalaikumsalam. On the way balik rumah dengan Samiah. Abang dah habis meeting ke?” soal aku dan menyandarkan tubuh lagi.
            Break sekejap. Ni abang tak sabar nak call Zara.”
            “Zara okey. Abang janganlah risau sangat. Esok kita jumpa kat office.”
            “Lama sangat nak tunggu esok. Petang ni kita jalan-jalan nak tak? Dengan Syafiq sekali. Tapi abang tak paksa. Abang takut Zara masih kurang sihat.”
            Aku terdiam sekejap dan memikirkan pelawaan Abang Jazman itu. “Abang, tengoklah nanti. Doktor kata Zara dah okey cuma doktor kata Zara kena rehat. Macam-macam jenis ubat Zara dapat ni. Susah hati memikirkan yang semua ubat tu Zara kena makan!”
            “Kalau macam tu Zara rehat ajelah hari ni. Hahh, jangan tak makan ubat tu. Nanti abang pesan kat Samiah yang dia kena pastikan Zara makan ubat ikut aturan,” ujar Abang Jazman. Aku ketawa kecil.
            “Macamlah Samiah nak jadi nurse Zara. Okeylah Doktor Jazman yang tidak bertauliah. Zara akan makan ubat ikut aturan.” Aku berjanji pada Abang Jazman kerana jika aku tidak berkata begini dia tidak mungkin akan mempercayai aku.
            “Okeylah sayang. Nanti abang call lagi. Just take care yourself. Love you Zara. Assalammualaikum.” Panggilan telefon Abang Jazman tamat dan aku masukkan semula telefon ke dalam beg tangan. Sekejap lagi aku akan sampai di rumah kerana sekarang ini kereta yang dipandu Samiah sudah melewati Jalan Shahab Perdana.
            “Aduhai, cemburu aku dengan hang, Qis. Abang Jazman memang betul-betul sayang kat hang kan? Qis, hang memang bertuah,” ujar Samiah.
            Aku senyum dan aku akui diri ini amat bertuah menemui dan menyayangi Abang Jazman. Bersama Abang Jazman, diri ini amat dibelai kasih sayang dan dilindungi sepenuhnya. Aku semakin tidak sabar untuk menjadi suri hidup Abang Jazman kerana pasti kasih sayangnya akan melimpah ruah untuk diriku. Aku sentiasa bersyukur ke hadrat Illahi dengan pertemuan jodoh aku dengan dirinya setelah aku tewas berkasihan dengan Ikhram. Pernah aku bayangkan bahawa aku sukar untuk menemui cinta sejati lantaran kenangan pahit aku bersama Ikhram. Namun, Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui, aku sepatutnya tabah dan tidak berputus asa meneruskan kehidupan. Masih terngiang-ngiang ungkapan dari mulut Samiah lama dahulu iaitu...
            “Qis, you deserve better than Ikhram...” Ini kata-kata Samiah pada aku.
            ‘Ya, I got Adham Jazman better than Ahmad Ikhram. Alhamdulillah...’Hati aku berbisik lagi. Aku tersenyum amat bersyukur.
            Usai Solat Isya’ pada pukul 9.00 malam, telefon mudah alih aku berbunyi lantang dan terpapar nama ‘emak’ yang membuat panggilan. Aku duduk di birai katil dan segera menjawab panggilan itu. Rindu aku pada emak dan ayah menerpa ke sanubari.
            “Assalammualaikum mak. Mak sihat ke?” soal aku.
            “Waalaikumsalam. Alhamdulillah sihat. Qis sihat ke? Semalam emak telefon, Jazman yang jawab,” suara emak menerjah gegendang telinga.
            “Hahh, dia cakap apa kat emak?” aku berdebar-debar. Aku harap Abang Jazman tidak memberitahu emak aku berada di wad. Aku tidak mahu emak runsing dan risau.
            “Dia kata Qis tengah ada taklimat di pejabat. Emak pun tak cakap banyak. Emak tunggu juga Qis nak telefon emak balik tapi tak ada. Emak agak mesti Jazman lupa nak bagi tahu Qis. Tak apalah. Banyak kerja kan?”
            Aku memejamkan mata. Terasa serba-salah pula kerana bukan Abang Jazman sudah memberitahu aku supaya menghubungi emak semula tetapi aku yang terlupa. Ini juga gara-gara aku yang melambat-lambatkan masa dan membuatkan aku lupa terus. Ya Allah, berdosanya aku kerana melalaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.
            “Mak, minta maaf, Abang Jazman ada pesan suruh call emak tapi Qis yang lupa. Ayah sihat? Liya buat apa sekarang? Tak dengar pulak suara dia yang becok tu,”
            “Kami semua sihat. Ayah kat surau, ada kenduri bacaan tahlil dan bacaan Yaasin. Adik kamu tu ada terperap dalam bilik. Layan novel dia la,” emak mengekek ketawa. Mendengar ketawa emak yang riang, aku tersenyum sendirian.
            “Bila nak balik kampung? Ajak Jazman dengan Syafiq sekali.”
            “Alah mak ni. Abang Jazman tu bukan suami Qis nak bawa balik kampung suka-suka hati, nanti dikata orang kampung je. Kasihan Abang Jazman.”
            “Kak Lida ada cerita ke?” soal emak.  Aku menukar posisi daripada duduk dan aku baring. Aku pandang saja bilah-bilah kipas yang berputar laju.
            “Kak Lida dah cerita kat Qis. Marah la mak. Sampai hati orang nak kata Abang Jazman macam tu. Selama ni Qis tak ada pun nak kacau sapa-sapa,” aku merungut.
            Emak mengeluh perlahan. Aku yang mendengar keluhan emak dihambat rasa serba-salah. Walaupun emak menyukai dan menerima Abang Jazman, pasti emak dan ayah akan merasai tekanan apabila anak perempuannya dikata bukan-bukan. Inilah kehidupan di kampung. Walaupun harmoni dan semangat bekerjasama yang amat tinggi, namun sikap negatif tetap ada. Aku turut mengeluh.
            “Tak payahlah nak marah-marah. Mulut orang mana nak disekat. Mak ada jumpa Mak Ngah Yati, bukan main dia puji bakal suami kamu handsome macam pelakon. Kembang kempis hidung emak mendengarnya. Bangga sikit,” cerita emak dan ketawa kami berpadu.
            “Pelakon mana pulak ni? Yusuf Haslam ke Jalaludin Hasan?” aku mengusik emak dengan dua orang pelakon yang amat digemari oleh emak.
            “Alah, macam hero dalam drama TV3 tu. Apa namanya, Sam...Seth Tan...alah, drama Nora Elena!” jawab emak dan aku semakin kuat ketawa.
Lagi sekali Abang Jazman disamakan kacaknya dengan pelakon Aaron Aziz. Aku pula yang bangga mendengarnya. Ini bermakna bukan mata aku sahaja yang melihat Abang Jazman ada iras-iras gaya Aaron Aziz seperti tanggapan Samiah, teman-teman pejabat dan juga Ezrin.
            “Emak jangan puji Abang Jazman depan-depan...riak dia nanti tak habis-habis orang kata dia handsome macam Aaron Aziz.”
            “Bakal menantu emak juga. Ayah dah balik rumah ni. Nanti ada masa emak telefon lagi. Kamu jaga diri,” pesan emak seperti selalu.
            “Sampaikan salam Qis pada ayah dan Liya. Emak dan ayah pun jaga diri elok-elok. Kalau Qis nak balik kampung, nanti bagi tahu emak. Assalammualaikum.”
            Salam aku yang emak balas, aku letakkan telefon mudah alih di atas tilam. Aku memeluk bantal peluk. Sedikit denyutan sakit terasa. Aku memicit-micit dahi. Hentakkan kepala aku pada dinding tidak menyebabkan kecederaan yang serius. Cuma, menurut kata Doktor Fong, kepala sebelah kiri aku masih bengkak dan aku perlu menghabiskan ubatan yang dibekalkan supaya bengkak tersebut surut. Aku akan ngeri apabila mengenang semula tragedi itu. Ya Allah, bersyukur kerana masih memelihara aku sebaiknya...

 BAB 57

AKU berdiri memandang tepat pada anak mata yang masih merenung tajam pada aku. Dada wanita tinggi lampai di hadapan aku ini turun naik seakan menahan rasa amarah yang meluap-luap. Otak aku ligat mencari jalan penyelesaian dan juga mahu meredakan kemarahan wanita ini. Wajahnya yang mulus putih sudah merah padam.
            “Kita perlu bincang elok-elok,” ujar aku perlahan.
            “Tak ada apa yang perlu dibincangkan lagi!” suaranya sedikit lantang.
            Aku melepaskan keluhan. Kenapa aku boleh bertemu wanita ini di tempat parkir pasaraya GIANT Alor Setar ini? Aku melihat sekeliling, tempat parkir kereta ini agak lengang. Mungkin di tengah bulan ini, tiada yang akan sakan membeli-belah. Tunggu saja hujung bulan ataupun kakitangan kerajaan mendapat gaji bulanan, meremut pengunjung GIANT memenuhi ruang pasaraya ini.
            “Iriqa, kita kena bincang tapi bukan di sini...” pujuk aku.
            “Hei, kau jangan nak bermanis mulut dengan aku. Aku bukan tak tahu taktik kau tu nak jadi perempuan sopan depan Aish. Sudahlah, menyampah aku tengok perangai palsu kau ni faham!” Iriqa masih berterusan memarahi aku.
            Menyampah Iriqa pada aku...lagi menyampah aku pada dirinya yang amat tidak bertamadun dengan sumpah seranah yang bertalu-talu.
            “Istighfar Iriqa. Saya bukan nak bermanis mulut!” bidas aku yang sudah mula tidak sabar kerana tahap normal ini seakan menipis.
Iriqa menjeling aku. Seakan mahu saja aku korek-korek matanya yang asyik menjeling dan memandang tajam pada aku. Jeling lagi sampai juling, sumpah aku dalam hati.
            “Kau punca hubungan aku dan Aish berkecai,” tuduh Iriqa.
            Aku mengeleng-geleng kepala. Kenapa aku masih dipersalahan? Ini adalah tuduhan yang kedua Iriqa lemparkan pada aku. Aku tidak tahu mana rasionalnya tuduhan itu kerana aku sendiri tidak pernah mengikat janji kasih pada seorang lelaki yang bernama Syed Iskandar@Aish! Sabar...sabar...aku terus beristighfar dalam hati.
“Bukan saya puncanya. Saya cuma kawan dengan Iskandar. Saya dan dia satu kampung tapi tak bermakna saya ada hubungan intim dengan dia.” Aku jawab.
            “Jangan nak bohong kat aku. Aish bagi tahu aku yang kau dan dia dah lama bercinta. Aish tak akan cakap saja-saja macam tu tanpa sebab. Betul kan?” sindir Iriqa.
            “Iskandar bohong!” ujar aku tegas.
Suara aku seakan bergema di ruang parkir kereta ini. Aku letakkan plastik-plastik barang di atas lantai ditepi kereta aku. Aku dekati Iriqa. Marah semakin naik ke kepala. Iriqa masih dengan wajah garang ‘singa betina’.
“Kau yang bohong!” laung Iriqa.
            “Iriqa, awak dengar ni. Saya dan Iskandar hanya kawan biasa. Bukan kekasih. Kalau dia beritahu awak yang kami ada hubungan intim, dia yang bohong pada awak. Ini kad undangan ke majlis perkahwinan saya dan pilihan hati saya. Tengok nama pengantin lelaki dan bukan nama Syed Iskandar Bin Syed Uthman. Nama bakal suami saya adalah Adham Jazman Bin Ahmad Kamal!” terang aku satu-persatu.
            Sekeping kad undangan perkahwinan yang sengaja aku reka sendiri yang kebetulan ada di dalam  beg tangan sudah aku layang-layangkan di hadapan wajah Iriqa. Aku raih tangan Iriqa dan kad itu aku letak di tapak tangannya. Iriqa diam dan wajahnya berubah ekspresi. Aku tidak dapat tafsirkannya. Kad undangan perkahwinan rekaan ini seakan menjadi penyelamat aku. Emosi marah Iriqa bertukar menjadi terkejut yang amat sangat.
            “Saya tak tahu apa konflik antara awak dan Iskandar. Saya tak pernah jadi musuh dalam apa jua perhubungan, jauh sekali mahu merosakkannya...” sambung aku lagi.
            Iriqa hanya diam. Kad di tapak tanganya hanya direnung dalam-dalam. Aku masih menanti kata-kata makian dan juga herdikan daripada Iriqa. Aku seakan sudah bersedia untuk menangkis apa jua makian daripada wanita ini. Aku menyilangkan tangan dan memeluk tubuh. Tetap memerhati Iriqa dan aku terkejut melihat di pipi mulus Iriqa mengalir air jernih. Iriqa menangis dan ia seakan merengut hati aku melihatnya sebak dan hiba.
            “Iriqa, kenapa tak cuba pikat Iskandar dengan sifat yang lemah-lembut dan lebih kasih sayang? Iriqa kenal Iskandar lebih lama daripada saya. Pasti Iriqa lebih tahu apa yang Iskandar suka dan benci. Kenapa tak gunakan peluang itu untuk Iriqa tambat hatinya?” soal aku hati-hati. Iriqa masih menangis dalam sendu.
            “Aku...aku gagal. Aku terlalu sayangkan Aish...” ujar Iriqa tersekat-sekat.
            “Saya faham...” jawab aku. Aku seakan kehabisan idea untuk berbicara dengan Iriqa yang masih diselubungi kepiluan.
            “Kenapa Aish bohong pada aku? Kenapa dia kata kau dan dia saling berkasihan?” soal Iriqa bertubu-tubi. Esak tangisnya masih ada.
            “Itu saya tak pasti Iriqa. Hanya Iskandar saja yang tahu sebabnya. Saya tidak pernah menyayangi dan menyintai dirinya. Kami hanya kawan. Sayang dan cinta saya hanya untuk lelaki yang bernama Adham Jazman!” jujur aku melafazkan.
            “Ini sekadar sample kad undangan yang saya buat. Belum tempah pun. Contoh. Tapi inilah bukti cinta saya bukan pada Iskandar. Iriqa, jangan biarkan kemarahan menguasai diri lagi. Awak seorang guru...golongan pendidik yang membimbing anak muda,” pujuk aku pada Iriqa. Perlahan aku pegang bahu Iriqa yang menangis tersedu-sedu.
            “Maafkan aku, Zara...” ucap Iriqa dan memandang wajah aku.
            Aku senyum. Aku rela memaafkan semua kesalahan Iriqa hari ini. Aku akui juga jiwa Iriqa bercelaru kerana sayangnya pada Iskandar melebihi segala-galanya. Aku juga sama seperti dirinya, seorang wanita yang mempunyai sekeping hati yang mudah tersentuh, mudah cemburu dan kecewa.
            “Lupakan saja semuanya,” aku memegang tangan Iriqa.
            “Maafkan aku...” ulang Iriqa lagi.
            “Ya, saya maafkan,” ucap aku lagi cuba untuk menenangkan Iriqa. Iriqa mengangguk sedikit. Dan aku mengucap syukur ke hadrat Illahi. Syukur alhamdulillah

***

“KENAPA berbohong pada dia?”
Ini adalah soalan aku yang diajukan pada lelaki di hadapan aku ini. Seakan hilang sabar aku melihat Iskandar yang masih bersahaja dan seakan aku sedang bermanja-manja dengannya. Pertemuan aku dan juga Iskandar ini sudah diatur sebaiknya. Aku mahu menyelesaikan kemelut perasaan di antara aku, Iskandar dan juga Iriqa. Aku tidak betah lagi mahu menjadi sasaran kesangsian Iriqa dan juga Iskandar yang berterusan menagih kasih dari aku. Aku tidak libatkan Abang Jazman kerana bagi aku lelaki itu tidak terlibat dalam hal ini. Biar saja aku mengendalikannya sebaik mungkin.
“Kenapa Zara nak tahu?” soal Iskandar bertanya pada aku semula.
“Zara tak sangka Is sangup jual nama Zara dalam hal ni. Kenapa perlu nak tipu Iriqa? Bila masa Zara dan Is bercinta? Kita hanya kawan,” tukas aku tegas.
“Is sayang Zara...” tutur Iskandar tetapi bait ayat ini tidak mengejutkan aku. Aku kacau-kacau jus tembikai di dalam gelas. Restoren Joned tidak terlalu ramai pelanggan. Sudut meja yang kami pilih amat privasi. Memudahkan aku atau pun Iskandar berhujah.
“Zara kawan Is,” tekan aku.
“Is nak lebih dari hubungan kawan!” bangkang Iskandar.
Aku geleng kepala. “Tak mungkin Is. Cinta Zara hanya untuk Abang Jazman!”
“Ahh..si duda tu juga yang Zara pilih...” bersahaja Iskandar mengejek Abang Jazman.
“Ya, memang Abang Jazman yang berstatus duda anak satu itu yang menjadi pilihan Zara. Is ada apa-apa masalah?” aku cerlung wajah Iskandar. Sakitnya hati aku.
Iskandar ketawa menyindir. Kenapalah buta Zara memilih lelaki itu berbanding dirinya? Setahunya, dia juga termasuk dalam golongan lelaki yang kacak dan mempunyai pakej yang mampu menarik perhatian wanita. Kenapa sukar benar wanita di hadapannya ini sedar diri dan menerima huluran kasihnya? Masih Encik Jazman itu juga yang mendahului dirinya. Encik Jazman yang berada di carta cinta paling atas dalam hati Zara.
“Memang ada masalah sebab bagi Is, Zara ni dah buta!” luah Iskandar kasar.
“Dia jodoh yang Allah berikan pada Zara. Bukan Is. Zara masih celik untuk menilai sayang dan cinta Zara untuk siapa. Tak perlu nak mencari kesalahan lagi,” bidas aku.
“Is tak akan lepaskan Zara,” Iskandar mula berdegil dan memaksa.
Aku terkejut mendengar kata-katanya itu. Iskandar tidak mengalihkan pandangan wajahnya. Aku menarik nafas panjang-panjang. Dugaan apakah ini? Kenapa Iskandar begitu degil untuk merampas aku dari Abang Jazman? Rasa senang aku berkawan dengan Iskandar sebelum ini terus lenyap. Iskandar di hadapan aku ini berubah menjadi seorang lelaki yang amat ego, degil dan memaksa.
“Bermakna Is menidakkan takdir Allah...” putus aku perlahan.
“Apa kurangnya Is berbanding dirinya?” soal Iskandar untuk kali kedua.
Pertanyaan ini pernah diajukan pada aku seketika masa dahulu. Aku sudah memberikan jawapan sejujurnya tetapi seakan Iskandar tidak berpuas hati dan hari ini soalan yang sama terluah dari mulutnya. Aku mengeluh dan bersandar pada kerusi.
“Abang Jazman tidak pernah memaksa Zara menyintai dirinya. Dia juga tidak pernah memaksa Zara menyayangi dia walaupun sudah lama dia menyintai dan menyayangi Zara. Dia selami jiwa Zara dengan hati-hati. Bukan seperti Is yang terjun dalam jiwa Zara dan menghasilkan ombak ganas. Dia tenang dan sentiasa melindungi Zara. Dan dia sentiasa menyenangkan hati Zara dan akan memastikan Zara tidak akan menangis kerana dirinya. Itulah kelebihan dirinya...” terang aku amat tenang.
Jika penerangan aku ini masih tidak mampu memuaskan Iskandar, aku sudah menyerah kalah. Ego Iskandar lebih tinggi daripada Ikhram. Aku pasrah sahaja.
“Is, tak guna Is nak paksa Zara terima kasih Is. Apa akan jadi jika Zara disisi Is kerana terpaksa? Kehidupan yang akan kita bina tidak akan bahagia. Jodoh Is bukan dengan Zara. tapi kita tetap berkawan. Iriqa wanita yang baik. Dia jadi begini kerana cemburunya telah membutakan hatinya. Jika Is tidak boleh menerima Iriqa, terus terang padanya. Jangan cipta alasan lagi. Iriqa bukan kanak-kanak kecil. Dia punya hati dan perasaan.” Noktah aku.
Aku bingkas bangun, menghadiahkan senyuman yang sedikit hambar pada Iskandar dan terus melangkah keluar dari Restoren Joned. Aku tinggalkan Iskandar yang membeku di tempat duduknya. Aku puas hati hari ini. Jiwa aku lapang dan tenang. Aku menitipkan doa di dalam hati semoga jiwa Iskandar terbuka dan menerima ketentuan takdir ini. Antara aku dan Iskandar tiada jodoh. Pertemuan semula aku dan dirinya bukan untuk mengikat talian kasih tetapi menyimpul talian persahabatan. Hanya kawan bukan kekasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan